Naratif rasuah tidak pernah selesai
PUISI daripada Almarhum WS Rendra terngiang-ngiang kembali apabila dua menteri di Indonesia tertangkap disebabkan korupsi.
Puisi yang bertajuk Pantun Korupsi itu menyajikan rangkap seperti berikut:
“Kalau ada sumur di ladang,
Jangan diintip gadis yang mandi,
Koruptor akalnya panjang,
Jaksa dan hakim diajak kompromi.”
Di negara kita, naratif korupsi dan rasuah telah lama juga diperkatakan.
Boleh sahaja kita rujuk buku-buku Syed Hussein Alatas.Antaranya, The Sociology of Corruption (1968), Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990) dan Corruption and the Destiny of Asia (1999).
Pada tahun 2016, Dewan Bahasa Dan Pustaka ada juga menerbitkan buku Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.Saya ada memiliki beberapa buku Syed Hussein, cuma buku berkenaan rasuah ini saya belum memilikinya lagi. Yang menariknya kerana ia telah diperkatakan sejak dahulu lagi, namun seperti yang kita lihat sekarang gejala rasuah masih lagi berleluasa dengan hebatnya.
Pemikiran Syed Hussein lebih berkisar tentang moral, akhlak dan juga cara berfikir. Menurut beliau, ia memainkan peranan penting dalam kita menjalankan sesuatu kerja atau amanah dan pada masa yang sama penting untuk berfikir supaya kita tahu cara untuk menyelesaikan masalah.
Berita-berita yang disajikan setahun dua ini amat memualkan kita juga. Terjadinya pandemik telah membongkarkan pelbagai perkara jelek juga. Antaranya kerakusan ahli politik berebut kuasa dan pada masa yang sama kegiatan rasuah berleluasa.
Paling menyedihkan ia berlaku ke atas mereka yang kita sangkakan akan menjadi pelindung buat rakyat jelata. Apabila orang-orang dipercayai diberi amanah dan ia khianat maka, berlakulah akan porak perandanya dalam negara.
Contohnya isu kartel daging yang dibongkarkan oleh Sinar Harian telah membawa kepada penemuan beberapa perkara salah laku lagi dalam kalangan orang yang diberi amanah terutamanya segelintir penjawat awam. Ini amat menyedihkan sekali.
Akhlak
Kita boleh lihat laporan dari Transperancy International, di mana kita telah ditewaskan dengan sangat jauh oleh Singapura yang diperintah oleh orang bukan Islam pula.
Di tangga pertama dipegang oleh Denmark yang masih kekal dan tidak tergugat sama sekali. Di tempat kedua oleh New Zealand. Kalau melihat kedudukan di bawah, lebih banyak negara Islam itu sendiri yang terpalit.
Justeru itu di manakah silapnya? Di situlah Syed Hussein Alatas amat menekankan akan prinsip akhlak dan cara berfikir yang sepatutnya diserapkan ke dalam jiwa kita. Titik tolaknya adalah diri sendiri untuk berpegang pada prinsip akhlak yang mulia.
Saya ada berbual dengan seorang kawan yang merupakan seorang peguam. Saya bertanya tentang satu kes kemalangan yang berlaku di Terengganu pada tahun 2019. Apabila mendengar berlaku di Terengganu, dengan tiba-tiba dia menggeleng-geleng kepala. Katanya, “awak tahu tak, ada tiga negeri amat terkenal dengan kejadian mereka-reka dan menokok tambah cerita. Tiga negeri membuatkan insurans amat takut apabila dikenakan tuntutan saman.”
“Oh, saya tidak tahu,” kata saya.
Maka beliau menerangkan beberapa perkara yang menyebabkan saya amat terkejut juga. Kes-kes yang melibatkan tuntutan kemalangan ini banyak berlaku, di mana banyak pihak akan terlibat. Mungkin berlaku isu rasuah seperti memberi komisen dan beberapa perkara yang tidak sihat juga. Sebelum ini saya ada mendengar sahaja cerita-cerita begini, namun kalau betul berlaku seperti yang dikatakan, keadaan kita sudah amat parah juga.
Ia mungkin sudah lama berlaku, dan sudah tiba masanya rakyat bersatu untuk membanteras dari sekecil-kecil rasuah kepada sebesar-besar rasuah. Usaha ini semestinya sukar jika tidak ada kesatuan dan kerjasama dari semua pihak.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!