PUNB sumbang RM100,000 kepada Tabung Khas Bencana Banjir
SHAH ALAM - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyumbang bantuan berjumlah RM100,000 kepada Tabung Khas Bencana Banjir Negeri Pahang sebagai usaha membantu penduduk terjejas akibat banjir di negeri tersebut.
Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan berkenaan adalah sebagai tanda keprihatinan agensi berkenaan dalam membantu masyarakat terjejas dan memerlukan bantuan.
“Ketika seluruh negara masih bergelut dalam menangani penularan pandemik Covid-19, masyarakat di negeri Pahang diuji dengan bencana banjir yang menyebabkan penduduk mengalami kesukaran akibat kerosakan dan kehilangan harta benda.
“Saya berharap sumbangan daripada PUNB ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Noh menyampaikan bantuan tersebut kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Perbandaran Bentong yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!