'Anakku lahir tanpa rahim'
SEREMBAN - Berat dugaan yang perlu ditanggung sepasang suami isteri di Taman Sri Mawar di sini apabila anak perempuannya dilahirkan tanpa rahim.
Siti Aminah Mohd Alauddin yang berusia dua tahun tiga bulan itu juga dilahirkan dengan tangan kanan bengkok, selain hanya mempunyai satu buah pinggang dan menghadapi masalah pendengaran.
Ibunya, Nur Shailla Revathy Abdullah, 31, berkata, mengenang keadaan Siti Aminah sebegitu, dia bimbang dengan masa depan anaknya itu.
"Anak saya dilahirkan sebulan awal. Ketika itu dia hanya sebesar botol air mineral 500 ml saja. Doktor pula hanya dapat sahkan jantina anak saya ini ketika usianya masuk tiga minggu.
"Pertumbuhan fizikalnya tak sempurna dengan keadaan tangan kanannya yang juga bengkok," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ketika usia Siti Aminah empat bulan, dia diberitahu bahawa anak sulungnya itu alami pelbagai masalah dan yang paling sukar diterima apabila dilahirkan tanpa rahim.
Bercerita lebih lanjut, Nur Shailla Revathy berkata, pada awal dia menerima perkhabaran itu daripada doktor, dia kerap menangis.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana anaknya itu tidak menghadapi masalah kesihatan serius lain.
"Selama ini saya tak pernah dengar masalah bayi tiada rahim. Walaupun perjalanan anak saya masih jauh, tapi sebagai ibu, sudah tentu saya fikir masa depannya.
"Tapi apa boleh buat, itu sudah ketentuan ALLAH anak saya dilahirkan tanpa rahim. Selagi saya bernyawa, saya akan jaga dia sebaik mungkin," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan dan menerima bantuan daripada Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) di sini.
Nur Shailla Revathy berkata, buat masa ini dia memerlukan bantuan untuk membeli alat bantuan pendengaran untuk Siti Aminah yang kini sedang diusahakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, katanya, Siti Aminah juga perlu menjalani rawatan susulan di hospital setiap empat bulan sekali.
"Walaupun anak saya alami banyak masalah, tapi dia seorang yang aktif. Itu yang membuatkan saya kuat. Setiap hari saya tidak putus-putus berdoa supaya hidupnya dipermudahkan," katanya
Sementara itu Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, pihaknya terpanggil untuk menziarah keluarga berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai masalah dihadapinya.
"Pada mulanya wanita ini maklumkan kepada kita yang dia ada menerima bantuan bulanan daripada JKM. Dia tidak mahu dilabel sebagai seorang yang meminta-minta berikutan kekurangan fizikal anaknya.
"Tapi bagi saya anak itu mempunyai hak dalam masyarakat untuk dibantu. Kita buka ruang pada mereka yang mampu untuk hulurkan sumbangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!