Dua calon SPM antara 4 ditahan lumba haram
IPOH - Aksi sekumpulan remaja yang masih bersekolah melepaskan gian merempit di Jalan Tanjung Rambutan Batu 6, Tambun, di sini terbantut selepas ditahan polis pada Jumaat.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi Ops Samseng Jalanan itu dijalankan sepasukan Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman bersama JSPT Perak bermula jam 4 petang.
Menurutnya, semasa pemantauan di lokasi terbabit, pihaknya mengesan empat penunggang motosikal kira-kira jam 6 petang yang melakukan aksi zig-zag, bersaing sesama sendiri dan menundukkan badan.
"Pasukan operasi telah mengekori kesemua penunggang terbabit hingga mereka berhenti di Taman Perumahan Jalan Pakatan Jaya 1, Tambun.
"Keempat-empat penunggang terbabit kemudian telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, semakan mendapati empat penunggang itu melibatkan tiga pelajar sekolah termasuk dua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) manakala seorang lagi adalah penuntut di sebuah pusat Giatmara.
Katanya, siasatan awal mendapati aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya itu dilakukan mereka pada setiap petang Jumaat dan Sabtu.
"Polis turut membuat sitaan kesemua motosikal iaitu dua Honda EX5 dan Honda C70 (Honda bulat)," katanya.
Tegasnya, kesemua tangkapan berusia 15 hingga 19 tahun disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!