Ganti ujian PCR dengan RTK-Ag

Ujian RTK-Ag tidak memerlukan pemprosesan di makmal khas dan keputusan ujian itu boleh diperoleh dalam sejam hingga tiga jam. Gambar kecil: Arvinder Singh
Ujian RTK-Ag tidak memerlukan pemprosesan di makmal khas dan keputusan ujian itu boleh diperoleh dalam sejam hingga tiga jam. Gambar kecil: Arvinder Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) perlu diganti dengan kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Pegawai Perubatan Institusi Penyelidikan Klinikal Negara (CRC), Arvinder Singh HS berkata, ujian PCR mengambil masa yang lama untuk diproses meskipun ia mampu mengesan virus Covid-19 yang telah mati.

“Walaupun negara kita mempunyai kapasiti untuk memproses hampir 70,000 ujian setiap hari, ujian ini tidak mencukupi untuk wabak ini. 70,000 ini tidak mengambil kira ujian yang dibawa ke depan dari hari sebelumnya (atau tunggakan).

“Dengan adanya tunggakan yang besar, kadar ujian yang boleh dijalankan pada hari itu akan semakin bertambah.

“Inilah sebabnya proses PCR mengambil masa dari dua hingga tujuh hari (mengikut beban kerja dan tunggakan yang lepas),” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Jumaat.

Menurutnya, penggunaan ujian RTK-Ag tidak memerlukan pemprosesan di makmal khas dan keputusan ujian itu boleh diperoleh dalam sejam hingga tiga jam.

“Apabila keputusan ujian diperoleh dengan cepat, para doktor boleh membuat keputusan untuk mengisolasi pesakit dan memulakan 'contact tracing' serta rawatan.

“Jika ujian PCR digunakan untuk saringan, ia akan memakan masa yang terlalu lama untuk ini berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, ujian PCR penting untuk dijalankan tetapi hanya perlu dilakukan sekiranya pesakit disahkan positif melalui ujian RTK-Ag.

“Apa bezanya dengan keadaan sekarang? Mitigasi untuk mendapat isolasi dan rawatan yang awal boleh bermula dalam beberapa jam berbanding dengan menunggu tujuh jam untuk ujian PCR sebelum tindakan seterusnya boleh diambil,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat dengan ujian besar-besaran dan isolasi pesakit positif yang cepat, penularan wabak pandemik ini dapat dikurangkan terutamanya dalam kalangan berisiko tinggi yang cenderung untuk mendapat jangkitan Covid-19 tahap ketiga dan ke atas.

Jelasnya, mengubah kepada taktik itu boleh menjadi ‘game changer’ dalam membendung penularan wabak berkenaan.

“Dalam situasi pandemik seperti sekarang, masa merupakan faktor utama dalam membanteras penularan Covid-19. Selagi kita bertindak lebih cepat daripada virus ini, kita boleh menang,” ujarnya.

Terdahulu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kerajaan menggunakan kit ujian RTK-Ag untuk tujuan diagnosis ekoran peningkatan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Menurutnya, dengan kadar positif dijangkakan tidak kurang lima peratus oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian sehingga 200,000 sehari dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag yang lebih cepat dan murah.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna kit ujian RTK-Ag lebih cepat, murah: Dr Dzulkefly

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!