Perdagangan luar Malaysia catat prestasi terbaik: Azmin
KUALA LUMPUR - Perdagangan luar Malaysia mencatatkan prestasi yang baik walaupun dalam keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan eksport meningkat semula pada separuh kedua 2020 berbanding dengan penguncupan pada separuh pertama, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini susulan pembukaan semula ekonomi yang progresif dan pemulihan permintaan luaran secara beransur-ansur.
“Malah, eksport pada Disember adalah nilai bulanan tertinggi yang dicatatkan bagi 2020, dengan eksport ke China merekodkan nilai tinggi baharu dan momentum yang sama dilaporkan bagi eksport ke Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan nilai terbesar dalam dekad lepas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, eksport Malaysia pada Disember 2020 mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.8 peratus kepada RM95.74 bilion tahun ke tahun.
"Ini adalah eksport bulanan tertinggi yang dicatatkan pada 2020 dan nilai eksport kedua tertinggi yang pernah dicatatkan selepas RM97.12 bilion pada Oktober 2018, katanya.
Peningkatan eksport direkodkan ke Singapura, China, AS, India, dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, jumlah perdagangan pada Disember 2020 meningkat 6.5 peratus kepada RM170.78 bilion daripada angka pada Disember 2019, sementara import meningkat 1.6 peratus kepada RM75.04 bilion.
Katanya, lebihan dagangan melonjak 64.9 peratus kepada RM20.7 bilion dan merupakan lebihan dagangan tertinggi yang pernah dicatatkan untuk Disember.
"Berdasarkan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan dua digit masing-masing pada 12.2 peratus; 13.1 peratus; 11 peratus dan 21.4 peratus.
"Wujud pertumbuhan eksport yang ketara ke pasaran pesat membangun terutama Costa Rica, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Ghana dan Cote d'Ivoire.
"Produk getah, elektrik dan elektronik serta pertanian berasaskan minyak sawit dan minyak sawit mencatatkan peningkatan eksport yang kukuh," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!