Jalan Meru Raya berlubang ditutup
IPOH - Jalan berlubang di Jalan Meru Raya berhampiran Halaman Meru Permai yang tular ditutup kepada pengguna pada Jumaat.
Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Azizul Kama Abdul Aziz berkata, penutupan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya, kejadian tersebut disebabkan oleh kebocoran dan kerosakan paip pembentung milik Indah Water Konsortium (IWK) yang berada di bawah jalan tersebut sekaligus menyebabkan tanah mendap.
"Saya sudah pun melawat dan meninjau kerosakan jalan itu malam tadi (Jumaat). Saya minta pihak kontraktor menutup jalan tersebut dan meletakkan papan tanda bagi mengelak orang ramai melalui jalan tersebut.
"Pihak MBI bersama-sama IWK dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan bekerjasama untuk mencari solusi terbaik untuk membaikpulih jalan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih jalan tersebut akan dilakukan secepat mungkin kerana ia merupakan laluan utama penduduk.
Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku disebabkan keadaan laluan tersebut.
Terdahulu, keadaan jalan yang berlubang itu tular di media sosial malah terdapat kenderaan turut termasuk ke dalam lubang berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!