Penghidap diabetes berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 teruk
SHAH ALAM - Penghidap diabetes mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 ke tahap yang lebih teruk.
Menurut laporan The Star, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, namun risiko untuk dijangkiti Covid-19 dalam kalangan pesakit diabetes boleh dikurangkan jika penyakit itu dapat dikawal dengan baik.
"Strategi yang paling baik bagi menentang Covid-19 adalah pencegahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Panduan Amalan Klinikal (CPG): Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 (Edisi Keenam) secara maya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, perubatan moden telah berkembang sejak sekian lama seiring dengan pemahaman mengenai penyakit diabetes.
"Kemajuan demi kemajuan telah dicapai dalam menangani komplikasi penyakit ini.
"Penggunaan teknologi baharu dan beberapa penemuan juga telah mengubah kaedah klinikal dan cara diabetes mellitus jenis 2 diuruskan dan ia dijelaskan dalam panduan praktik klinikal terbaharu untuk edisi keenam ini," katanya.
Tambahnya, garis panduan itu juga memberi tumpuan untuk mencegah dan mengurangkan komplikasi yang berkaitan dengan diabetes sehingga meningkatkan hasil klinikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!