Webinar platform profesional kesihatan untuk pengurusan diabetes
KUALA LUMPUR - Susulan penularan pandemik Covid-19, Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk menganjurkan webinar berbanding jerayawara bersemuka yang diadakan secara tradisi sebelum ini, untuk berinteraksi dengan profesional penjagaan kesihatan di seluruh negara, dalam usaha memperluas jangkauan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) mengenai Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 (T2DM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ucaptama ketika melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal ke-6 bagi Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang bertemakan 'A United Front against Diabetes: Delivering Care in this Era and Beyond!' menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini berkata, adalah penting untuk mengambil langkah tersebut kerana penghidap diabetes lebih cenderung untuk membentuk jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.
Turut serta ialah Presiden MEMS, Profesor Dr Chan Siew Pheng.
"Virus Covid-19 tidak membezakan siapa yang dijangkiti. Malangnya, penghidap diabetes lebih cenderung mengalami kesan jangkitan Covid-19 yang lebih teruk. Penyakit diabetes yang tidak dikawal akan menjejaskan sistem imun badan.
“Saya dapati baru-baru ini, terdapat ledakan kemajuan dalam pengurusan akibat komplikasi diabetes.
"Penggunaan teknologi baharu serta penemuan penting hasil daripada kajian klinikal telah mengubah garis panduan klinikal serta cadangan bagaimana Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2. Ini telah digambarkan di dalam Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) terkini untuk edisi keenam, Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2,” kata Dr Noor Hisham.
Beliau berkata, langkah ini bertujuan memberikan rawatan terbaik untuk pesakit daripada segi pencegahan penyakit hingga rawatan komplikasi.
"Dalam era jaringan ini, kita seharusnya tidak lagi bekerja secara silo dan saya ingin menegaskan mengenai kepentingan dan pengiktirafan terhadap pendekatan multidisiplin dalam menguruskan diabetes mellitus Tipe 2," tegas beliau.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, diabetes yang dapat dikawal dengan baik dan mengurangkan komplikasinya, perlu dicapai melalui pendekatan holistik dan penglibatan pesakit secara aktif.
Katanya, ini dapat dicapai dengan sokongan pendidikan mengenai diabetes dan pengubahsuaian gaya hidup yang sesuai seperti yang dibimbing oleh profesional penjagaan kesihatan serta rawatan farmakologi.
"Malah, penting juga untuk mengintegrasikan perkhidmatan perawatan untuk memberi penekanan kepada pesakit di pusat rawatan dalam model perawatan kronik akan meningkatkan motivasi dan kehidupan pesakit yang menghidap diabetes.
"Dalam abad ini, profesional perubatan perlu menerapkan teknologi dan inovasi, dan didapati bahawa terdapat penekanan terhadap potensi untuk menggunakan aplikasi mudah alih dan bentuk kemajuan teknologi dan telemedicine lain untuk meningkatkan pengurusan diri pesakit diabetes," katanya.
Dr Noor Hisham turut menekankan mengenai kepentingan perubahan ini semakin penting, lebih-lebih lagi dalam konteks norma baharu yang harus dihadapi setiap orang, akibat pandemik Covid-19.
"Ketelitian bahan mencerminkan komitmen dan dedikasi ahli jawatankuasa CPG walaupun berdepan kesulitan semasa menghadapi pandemik Covid-19.
"Malah, terdapat kes interaktif, senario yang diketengahkan memerlukan penyesuaian pengurusan yang mengakibatkan keputusan klinikal yang tepat pada masanya, sekali gus menangani kelewatan dalam menawarkan rawatan yang sesuai yang dapat mempengaruhi hasilnya," tambah Dr Noor Hisham.
Menurut beliau, KKM telah sekian lama membuat pelaburan dalam melatih Pakar Perubatan Keluarga (FMS) untuk menguruskan penyakit diabetes di peringkat rawatan primer.
Katanya, usaha ini penting kerana kementerian berusaha memperkukuhkan aspek penjagaan kesihatan kerana 70 peratus pesakit diabetes diuruskan kementerian dan Klinik Kesihatan kerajaan.
"Kumpulan FMS yang terlatih ini akan membantu menggerakkan program pendidikan pesakit dan jangkauan dengan kerjasama pasukan multidisiplin mereka iaitu pendidik jururawat, pakar diet dan ahli farmasi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!