Kita kalah kepada negara jiran

A
A
A

DALAM dunia selepas Perang Dingin, dua perkara utama yang menjadi pertimbangan pelabur apabila memilih destinasi pelaburan adalah kestabilan politik dan keterbukaan ekonomi.

Terangkum dalam kestabilan politik adalah kewujudan sistem pilihan raya bebas, peralihan kerajaan yang aman dan institusi pemerintahan yang kukuh serta bebas, khususnya kehakiman.

Secara umum, kita ada semua ciri itu sejak merdeka pada 1957. Ia dibuktikan oleh kemasukan modal asing.

Kecuali satu dua gangguan seperti pergaduhan kaum 1969, diikuti perisytiharan darurat dan krisis politik 1988, Malaysia adalah antara sebahagian kecil negara bekas tanah jajahan yang berjaya memanfaatkan kemerdekaan.

Satu pengajaran yang boleh diambil daripada darurat 1969 berbanding darurat sekarang adalah keyakinan pelabur. Apabila darurat diisytiharkan pada 13 Mei 1969 dan Parlimen digantung, keamanan pulih dalam masa singkat.

Ketika itu, Parlimen belum mengangkat sumpah, jadi penggantungannya tidak memberi kesan besar. Darurat sekarang, Parlimen sudah dua tahun mengangkat sumpah dan beberapa kali bersidang. Darurat kali ini kabur kerana menggunakan alasan wabak penyakit.

Apabila Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri dan Tun Abdul Razak Hussein sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negara (NOC) menubuhkan kerajaan campuran, pelabur dalam dan luar negara berasa yakin.

Berbeza dengan darurat 1969 dan darurat konfrontasi Indonesia pada 1964, darurat 2021 dikuatkuasakan ketika negara tidak menghadapi ancaman keselamatan. Alasannya Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya, satu dunia mengalami wabak itu tetapi berapa buah negarakah yang mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen?

Apa yang terjadi adalah penularan Covid-19 bermula hampir serentak dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020.

Kes Covid pertama di Malaysia pada 25 Januari iaitu sebulan sebelum Langkah Sheraton.

Menjelang perisytiharan darurat pada 12 Januari lalu, dua perkara berlaku serentak.

Pertama, Covid-19 meledak semula dan kedua, kedudukan kerajaan PN yang semakin goyang. Tidak hairanlah jika keyakinan pelabur merudum. Ia disahkan oleh penurunan penarafan ke atas pelbagai aspek ekonomi dan kemasyarakatan kita oleh agensi penarafan antarabangsa.

Terbaharu, laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan yang mengatakan pelaburan asing terus (FDI) Malaysia bagi tahun 2020 jatuh sebanyak 68 peratus.

Ia diikuti oleh badan pengawasan rasuah antarabangsa, Transparency International yang menurunkan penarafan persepsi rasuah Malaysia bagi tahun 2020 sebanyak enam anak tangga kepada nombor 57 daripada 180 negara dan wilayah.

Kemerosotan FDI kita tahun lalu adalah terburuk dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Yang sangat memalukan adalah kita kalah kepada negara yang selama ini dipandang rendah dan berjuta-juta rakyat mereka datang bekerja di Malaysia.

Kita bukan lagi destinasi utama pelaburan asing. Pelabur lebih tertarik dengan negara yang ramai penduduk dan stabil dari segi politik seperti Indonesia dan Vietnam. Hatta, Thailand yang bergolak itu pun lebih diminati berbanding Malaysia.

Oleh sebab bersifat sombong, ramai orang kita tidak pun tahu bahawa Indonesia telah memotong kita dalam banyak hal. Selepas pergolakan politik pasca-Suharto, Indonesia kini diiktiraf sebagai negara demokrasi ketiga terbesar di dunia selepas India dan Amerika Syarikat.

Dari segi penarafan oleh Bank Dunia pula, Indonesia telah berjaya mengejar kita. Tahun lalu badan dunia itu menaikkan taraf Indonesia sama seperti Malaysia, iaitu negara berpendapatan sederhana tinggi.

Masalahnya, terlalu ramai orang kita yang memandang rendah terhadap Indonesia sehingga tidak pun tahu bahawa bilangan penduduk kelas menengahnya adalah 52 juta berbanding 32.7 juta keseluruhan penduduk Malaysia.

Untuk kembali bersaing, kita kena buang sifat bodoh sombong. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!