Pra-diabetes boleh diterbalikkan melalui penurunan berat badan
KUALA LUMPUR - Menterbalikkan (menyembuhkan) pra-diabetes bukan sesuatu yang mustahil, kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Profesor Dr Chan Siew Pheng.
Pra-diabetes adalah keadaan paras gula darah adalah tinggi tetapi tidak terlalu tinggi sehingga boleh dikategorikan sebagai diabetes.
Bercakap pada pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) ke-6 bagi Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 (T2DM) bertemakan 'A United Front against Diabetes: Delivering Care in this Era and Beyond!’ secara dalam talian di sini, Dr Siew Pheng berkata, penyelidikan baru-baru ini menunjukkan bahawa menurunkan berat badan (dengan diet dan gaya hidup sihat) dapat mengelakkan individu yang berada dalam kategori pra-diabetes daripada menjadi diabetes.
Beliau juga berkata bahawa individu yang baru didiagnosis dengan T2DM juga dapat menterbalikkan diabetes mereka dengan menurunkan 15 peratus berat badan masing-masing.
"Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 23.6 peratus orang dewasa Malaysia mempunyai pra-diabetes (iaitu glukosa plasma yang tidak normal). Ini diterjemahkan kepada kira-kira lima juta (5,019,359) orang dewasa, individu ini berisiko tinggi untuk menghidap diabetes pada masa akan datang.
"Namun, berita baiknya adalah kajian terbaharu menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak tujuh hingga 10 peratus (dengan diet dan gaya hidup sihat), dapat mengelakkan individu dalam kategori pra-diabetes ini menjadi diabetes.
"Tambahan pula, individu yang didiagnosis mengalami T2DM (kurang daripada 3 tahun) boleh menterbalikkan penyakit diabetes mereka. CPG terbaharu ini merangkumi cubaan terkini yang menunjukkan bahawa penurunan berat badan sebanyak 15 peratus dapat menterbalikkan penyakit diabetes," katanya dalam ucapan alu-aluan di majlis tersebut.
Program berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui aplikasi Zoom.
Mei lepas, NHMS 2019 mendapati bahawa satu daripada lima orang dewasa di Malaysia, atau 18.3 peratus, menghidap diabetes. Laporan itu juga menyatakan bahawa dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes.
Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (2016) mendapati bahawa diabetes adalah punca kedua kebiasaan bagi serangan penyakit jantung, iaitu 45 peratus daripada semua kemasukan ke unit rawatan koronari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!