Virus Nipah dijangka bawa ancaman lebih besar
SHAH ALAM - Virus Nipah yang bermula di China berpotensi menjadi pandemik besar seterusnya dengan kadar kematian diramal sehingga 75 peratus.
Menurut laporan akhbar Britain The Guardian, Pengarah Eksekutif European Foundation for Access to Medicine, Jayasree K Iyer berkata, virus tersebut adalah penyakit berjangkit lain yang muncul dan boleh merebak pada bila-bila masa.
Menurutnya, mereka yang dijangkiti akan mengalami demam yang teruk, batuk, sakit kepala, sakit perut, muntah, masalah menelan dan penglihatan kabur, manakala sekitar 60 peratus yang dijangkiti virus tersebut akan mengalami koma dan memerlukan bantuan pernafasan.
“Nipah adalah salah satu daripada 10 penyakit berjangkit yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai ancaman terbesar bagi kesihatan awam.
"Syarikat-syarikat farmaseutikal tidak bersedia untuk menghadapi situasi ini," katanya.
Beliau berkata, kelawar merupakan pembawa semula jadi virus terbabit yang boleh menyebabkan penularan kepada binatang lain dan manusia melalui air liur.
“Setakat ini, masih tiada ubat serta vaksin bagi menangani penyakit ini.
“Virus Nipah akan menyebabkan masalah pernafasan yang teruk serta radang dan kerosakan pada otak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!