Bahana cinta lelaki Amerika, wanita rugi lebih RM300,000

Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerana cinta, seorang penjawat awam kerugian lebih RM300,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita itu berkenalan dengan lelaki kononnya warga Amerika yang bekerja dalam bidang minyak dan gas melalui laman Facebook.

Menurutnya, mereka kemudiannya bertukar nombor telefon dan saling berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Setelah hampir sebulan berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta, individu tersebut mula menceritakan kisah sedih untuk meraih simpati daripada mangsa.

"Mangsa yang mula percaya dan bersimpati dengan kisah sedih itu bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan memberi pinjam wang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Noorzainy berkata, disebabkan simpati dengan kekasihnya itu mangsa telah membuat pindahan wang secara berperingkat mulai pertengahan Oktober hingga akhir Disember tahun lalu melalui 49 transaksi ke dalam 14 buah akaun bank tempatan yang diberikan.

Katanya, mangsa dijanjikan semua wang yang dipinjamkan akan dipulangkan semula.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila individu tersebut terus meminta untuk meminjamkan wang sedangkan mangsa telah memberi pinjam wang yang banyak kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Selepas rasa ditipu individu berkenaan, wanita itu tampil membuat laporan polis," katanya.

Mengulas mengenai kes berkenaan, Noorzainy menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan cerita sedih dan janji manis daripada individu yang hanya dikenali di media sosial.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!