Ahli perniagaan pukul isteri guna kunci mangga diberkas

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KLANG - Seorang ahli perniagaan ditahan kerana disyaki memukul isterinya dengan menggunakan kunci mangga kerana wanita itu enggan keluar dari rumah setelah dihalau.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Kapar Batu 5 di sini jam 12.20 pagi pada Sabtu.

"Mangsa berusia 31 tahun telah membuat laporan pada jam 6.50 petang Khamis lalu, dia mendakwa suaminya mengigit serta memukulnya dengan menggunakan kunci mangga," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Nurulhuda berkata, pasangan itu telah berkahwin kira-kira empat tahun dan mempunyai seorang anak.

"Pasangan itu sebelum ini kerap bertengkar dan ini merupakan kejadian pertama wanita itu dipukul. Punca suspek menghalau mangsa keluar dari rumah kerana dia dikatakan sudah ada perempuan lain," katanya.

Mengulas lanjut, Nurulhuda berkata, mangsa cedera akibat kesan gigitan di bahu.

"Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada hari yang sama," katanya.

Menurutnya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!