KKM seru semua wujud kesedaran penyakit kusta
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru agar setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat untuk melibatkan diri dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit kusta khusus kepada komuniti di lokaliti endemik yang berisiko tinggi.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kegiatan advokasi yang diiringi aktiviti pengukuhan diagnostik, rawatan, latihan dan kebajikan pesakit akan menjadikan kawalan kusta lebih mantap dan lengkap.
“Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia.
“Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuhkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan dalam setiap aspek di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sambutan Hari Kusta Sedunia yang disambut pada Ahad.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik adalah fokus utama dalam kawalan dan pencegahan kusta di Malaysia.
“Sasaran untuk meningkatkan pengesanan adalah bertujuan untuk mengurangkan beban dan penularan kusta di dalam komuniti yang berisiko melalui pemberian rawatan serta mengurangkan kejadian kecacatan kekal akibat kusta.
“Komuniti dan individu yang dibebani kusta perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan yang diberi oleh anggota kesihatan terutama di dalam menjalani aktiviti saringan dan rawatan susulan,” katanya.
Menurutnya, stigma dan diskriminasi adalah antara permasalahan yang masih dihadapi oleh pesakit dan keluarga mereka.
Katanya, disebabkan perkara itu, pesakit dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan hadir di klinik tetapi turut tidak mahu disaring serta diberi rawatan untuk penyakit kusta.
Dr Noor Hisham berkata, kontak rapat kusta khususnya dalam kalangan kanak-kanak adalah di antara golongan yang berisiko dan perlu diberi perhatian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!