IPG, RRIMniaga ringan beban 450,000 pekebun getah

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) terus komited dalam usaha meringankan beban lebih 450,000 pekebun kecil getah semasa keadaan ekonomi mencabar tahun lalu dan ketika impak wabak Covid-19 masih menular sehingga kini.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan penggunaan aplikasi RRIMniaga adalah antara inisiatif dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, usaha itu bagi memastikan aktiviti pengeluaran produk komoditi itu diteruskan di samping menstabilkan pendapatan pekebun kecil.

"Untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM300 juta bagi IPG pada tahun 2021 iaitu pertambahan sebanyak 100 peratus berbanding peruntukan pada tahun lalu (RM150 juta)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tahun 2020, sebanyak 30.16 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) telah menuntut IPG.

Menurutnya, peratusan menuntut IPG dijangka akan meningkat pada tahun ini dengan penggunaan aplikasi RRIMniaga oleh peraih atau pembeli getah yang diwajibkan mulai 1 Januari 2021.

"Aplikasi ini membolehkan IPG disalurkan terus kepada pekebun kecil tanpa proses permohonan manual," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, peratusan pekebun yang aktif mengemukakan tuntutan adalah seramai 135,632 dari keseluruhan 495,296 pemegang kad PAT-G.dan jumlah itu membabitkan kebun getah seluas 294,095.79 hektar.

Artikel Berkaitan:

Dengan bantuan IPG, katanya, anggaran pendapatan pekebun kecil diunjur meningkat sebanyak 25 peratus daripada RM933 kepada RM1,167 sebulan.

"Ini berdasarkan kepada purata pemilikan kebun seluas 2 hektar dan harga getah 'cuplump' di ladang sebanyak RM2 sekilogram.

"Kerajaan tidak pernah berhenti malah akan terus membantu golongan pekebun kecil ini khususnya dalam keadaan harga pasaran getah rendah.

"Diharapkan dengan usaha kerajaan ini, kesan ekonomi semasa dan wabak Covid-19 kepada pendapatan pekebun kecil getah dapat dikurangkan sekaligus menjaga kesejahteraan mereka yang juga akar umbi industri getah Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!