Kedah rancang kuliah agama secara bersiri
ALOR SETAR - Kerajaan negeri bakal melaksanakan kuliah agama secara bersiri termasuk menyentuh isu rasuah bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang awam di Kedah.
Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya telah berbincang dan menyusun atur untuk melakukan kuliah agama secara bersiri termasuk berkaitan rasuah melalui platform seperti radio dan sebagainya.
"Kita memang ada merancang melaksanakan kuliah agama secara bersiri termasuklah melibatkan isu rasuah di platform tertentu di negeri ini, bagaimanapun terbantut seketika kerana keadaan tidak mengizinkan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
"Insya-ALLAH kita akan berusaha melakukannya apabila keadaan kembali pulih," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, kerajaan negeri turut merancang untuk memasang papan tanda iklan berkaitan nilai-nilai moral, agama dan kekeluargaan serta amalan rasuah demi memberi pendedahan kepada masyarakat.
"Yang berkaitan aspek keluarga, kita bercadang akan letak pasal kekeluargaan pada papan tanda iklan, manakala berkaitan rasuah kita rancang pasang berkaitan integriti dan lain-lain," katanya.
Katanya, pihaknya mementingkan nilai-nilai integriti dalam kehidupan, sekali gus menyokong usaha memerangi rasuah dan merancang pelbagai inisiatif dalam usaha mencapai matlamat itu.
Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.
Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!