Lima peguam Trump tarik diri
WASHINGTON - Beberapa peguam bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan mengendalikan kes perbicaraan di Senat telah menarik diri sebelum prosedur itu yang dijadualkan berlangsung pada 9 Februari ini.
CNN memetik sumber tidak didedahkan melaporkan seramai lima peguam termasuk dua yang mengetuai pasukan pembela Trump itu membuat keputusan mengejut tersebut selepas didakwa tidak bersetuju dengan strategi perundangan bilionair hartanah terbabit.
Trump dikatakan berkeras mahu para peguam beliau meneruskan tuduhan tidak berasas berhubung berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 dan bukan memberi tumpuan kepada kes perbicaraannya berhubung tuduhan ‘menghasut pemberontakan’ di Capitol pada 6 Januari lalu.
Terdahulu, satu sumber mengesahkan peguam dari South Carolina, Butch Bowers dan Deborah Barberi tidak lagi bersama pasukan undang-undang Trump.
Tiga lagi rakan mereka, Josh Howard, Johnny Gasser dan Greg Harris juga mengikut jejak langkah duo terbabit.
“Kami telah mengadakan banyak perbincangan, namun masih gagal untuk mencapai sebarang keputusan,” kata penasihat bekas Presiden itu, Jason Miller sebagai respons terhadap laporan tersebut.
Pada awal minggu lalu, majoriti senator parti beliau menolak perbicaraan itu yang didakwa melanggar Perlembagaan kerana Trump tidak lagi bergelar Presiden, namun usul tersebut ditolak 50 senator Demokrat termasuk lima anggota Republikan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!