Polis pantau sekatan cegah Covid-19 di kawasan orang asli
KOTA BHARU - Polis Kelantan memantau sekatan dilakukan penduduk orang asli di Pos Sendrop, Tanah Tinggi, Lojing di Gua Musang yang dilakukan mereka bagi menghalang kemasukan penduduk luar bagi mengelak penularan Covid-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, masyarakat di situ mengambil tindakan sedemikian bagi menjaga keselamatan 500 orang asli suku kaum Temiar agar tidak dijangkiti Covid-19.
Begitupun katanya, adalah lebih baik jika ia dimaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu untuk turut sama membantu dan memberikan nasihat.
“Ia dilakukan atas kesepakatan bersama penduduk kaum Temiar, saya juga menasihatkan agar mereka mendaftar di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sebagai Rukun Tetangga kerana dapat memberi banyak faedah.
“Kita faham, inisiatif ini dilaksanakan kerana mereka risau dengan penularan wabak dan difahamkan sekatan yang dijalankan bukan di laluan utama atau jalan besar, hanya laluan ke kampung mereka.
“Jadi saya harap tiada isu yang timbul memandangkan anggota saya juga sudah diarahkan untuk turut sama membantu mereka di sana,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Terdahulu beliau menerima sumbangan daripada Syarikat Raja Perfumes Sdn Bhd & Fahaf Global Resources Sdn Bhd kepada polis di Dewan Tun Salleh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, Pemilik Raja Perfumes Sdn Bhd, Wan Mohamad Rahimie Syazerin Ab Rahim dan wakil FGR, Mohd Khairul Hafiz Hassan.
Media sebelum ini melaporkan penduduk di perkampungan terbabit bersepakat membina palang besi dan menjaga laluan masuk ke kampung bagi mengelak berlakunya penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Shafien turut berterima kasih atas inisiatif sekumpulan anak muda yang mengusahakan minyak wangi dan turut menghargai para petugas barisan hadapan.
“Ia adalah suatu sumbangan dan penghargaan yang berbeza buat polis kontinjen Kelantan. Saya juga bangga dengan mereka kerana bukan sahaja mampu membina perniagaan sendiri ketika muda tetapi turut menghargai barisan hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!