Wisma Putra usaha bebaskan tahanan di Kemboja
KUCHING - Wisma Putra akan memastikan usaha untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja akan dilakukan sebaik mungkin agar kesemua tahanan dapat dibebaskan segera.
Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar , Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata,Wisma Putra bersama pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh kini sedang giat menjalankan rundingan dengan pegawai kanan Kemboja.
“Pihak kami juga sudah berhubung dengan Zunita Sedini, ibu kepada Yusuf Islam Abdul Halik bagi memaklumkan perkembangan terkini rundingan.
"Usaha membebaskan tahanan kini mendapat perhatian serius Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak. Namun ia perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Jelas Deddy, keluarga tahanan boleh terus menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan sebarang maklumat serta perkembangan terkini mengenai tahanan.
Seramai 47 rakyat Malaysia kini ditahan di penjara di Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay yang terletak 446 kilometer ke utara Phnom Penh yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!