Penduduk Hong Kong ditawar jadi rakyat UK
HONG KONG - Penduduk Hong Kong boleh memohon visa baharu yang menawarkan peluang kepada mereka untuk menjadi rakyat United Kingdom (UK) selepas China melaksanakan undang-undang keselamatan kontroversi di hab kewangan Asia tersebut pada tahun lalu.
Langkah itu dibuat selepas Beijing dan Hong Kong menyatakan mereka tidak lagi akan mengiktiraf pasport warga British Luar Negara (BNO) sebagai dokumen perjalanan sah bermula Ahad.
“Kami menghormati hubungan sejarah dan persahabatan dengan penduduk Hong Kong. Kami juga menyokong kebebasan dan autonomi,” kata Perdana Menteri, Boris Johnson tentang skim itu pada awal minggu lalu dan turut merujuk kepada pelanggaran syarat perjanjian dibuat China selepas penyerahan semula Hong Kong pada 1997.
London menjangkakan visa baharu itu akan menarik lebih 300,000 permohonan selepas ia pertama kali diumumkan pada tahun lalu yang membenarkan pemegang status BNO untuk menetap, belajar dan bekerja di UK selama lima tahun dan kemudiannya boleh memohon untuk hak kerakyatan.
Difahamkan, dokumen itu boleh dimohon kira-kira 70 peratus daripada 7.5 juta populasi di bandar raya tersebut.
Permohonan pasport BNO itu dikatakan melonjak lebih 300 peratus sejak undang-undang keselamatan dilaksanakan di Hong Kong dengan 773,000 pemegang berdaftar sehingga pertengahan Januari.
UK meramalkan seramai 154,000 penduduk Hong Kong dijangka tiba di negara itu pada tahun depan dan mencecah 322,000 dalam tempoh lebih lima tahun akan datang yang dianggarkan memberi ‘keuntungan bersih’ sehingga 2.9 bilion pound (RM16.1 bilion). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!