Bunyi kuat, gegaran bukan disebabkan operasi Petronas

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah pada Ahad berpunca daripada operasi syarikat itu.

Menurut kenyataan Petronas malam ini, semua pekerja dan asetnya di Sabah selamat, sementara operasi harian berjalan seperti biasa.

"Sebagai menjawab laporan berita pada 31 Januari (hari ini) yang menyatakan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah mungkin ada kaitan dengan operasi Petronas, kami ingin mengesahkan kejadian itu bukan berpunca daripada mana-mana operasi kami di Sabah.

"Petronas juga memberi jaminan kepada masyarakat dan pemegang taruhnya bahawa aspek keselamatan amat diutamakan dalam semua operasinya bagi memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar terjamin, selaras dengan peruntukan undang-undang dan piawaian yang ditetapkan," demikian menurut kenyataan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, tidak ada sebarang aktiviti pelupusan dan letupan bom dilakukan di kawasan itu selain turut meminta agar pengesahan dibuat dengan Petronas sekiranya bunyi letupan tersebut berpunca daripada kegiatan industri petroleum.

Bunyi dentuman serta gegaran itu didengari dan dirasai oleh penduduk di Sipitang serta beberapa tempat lain termasuk Beaufort dan Labuan serta Brunei. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!