'Saya sedar realiti kesulitan dalam kalangan rakyat'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuklah dengan meneruskan usaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
"Saya sedar akan realiti kesulitan yang berlaku dalam kalangan rakyat yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan.
"Sama ada golongan bujang, berkeluarga, golongan kelas menengah, para petugas barisan hadapan, para pelajar dan mahasiswa dan seluruh lapisan masyarakat, saban hari pihak kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran.
"Ini dibuktikan melalui Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5My) Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang disiar secara langsung di stesen televisyen tempatan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi membuktikan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion diperkenal pada 18 Januari lalu.
Katanya, pakej bantuan itu merupakan inisiatif kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PK).
"Di antara inisiatif di dalam pakej ini termasuklah mempercepatkan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional fasa terakhir, melaksanakan Program Bakul Makanan dengan segera serta pemberian bantuan komuniti di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!