Pusat cuci kereta terpaksa beroperasi curi-curi

Seorang pengusaha pusat cuci kereta yang dikesan menjalankan operasi secara sembunyi di sekitar ibu kota.
Seorang pengusaha pusat cuci kereta yang dikesan menjalankan operasi secara sembunyi di sekitar ibu kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat pengusaha cuci kereta terpaksa beroperasi secara curi-curi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar pusat bandar pada Ahad menemukan seorang pengusaha yang menjalankan khidmat cuci kereta di kawasan rumahnya yang terletak berdepan dengan pusat cuci kereta milik keluarganya.

Pengusaha berkenaan yang berusia dalam lingkungan 50-an itu akan memanggil pelanggan yang berhenti di pusat cuci keretanya untuk mengalihkan kenderaan di rumahnya.

Pengusaha berkenaan berkata, dia memberanikan diri membuka operasi sejak dua tiga hari kebelakangan ini susulan kebanyakan perniagaan sudah dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, dia bertindak sedemikian disebabkan ada permintaan daripada pelanggan selain perlu 'cari makan' untuk menyara keluarga.

"Walaupun kedai tutup, sewa kedai RM1, 000 sebulan masih perlu dibayar. Jika tak berniaga, bagaimana nak bayar sewa?

"Kebanyakan yang datang cuci kereta adalah dalam kalangan penduduk sekitar. Saya tengok pelanggan juga, kalau ada yang memerlukan, saya bantu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kongsinya, dalam tempoh kurang sejam beroperasi hampir lima kereta sudah di cuci di harapan rumahnya yang terletak di sebuah taman perumahan di Sentul.

Artikel Berkaitan:

Operasi cuci kereta di depan rumah selepas MKN melarang operasi pusat cuci kereta dibuka sepanjang PKP.
Operasi cuci kereta di depan rumah selepas MKN melarang operasi pusat cuci kereta dibuka sepanjang PKP.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha pusat cuci kereta, Muhammad Nizamuddeen Mohd Abd Kadzer, 26 meminta agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pusat cuci kereta beroperasi.

"Kami pengusaha cuci kereta dah buat rayuan dan hantar petisyen mohon kerajaan beri pertimbangan, namun sehingga kini permintaan kami tidak dilayan.

"Sedangkan kami pengusaha perlukan pendapatan untuk bayar sewa kedai. Apabila perniagaan tak jalan, saya terpaksa berhentikan pekerja," katanya.

Menurutnya, pihak pengusaha premis cuci kereta tidak mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya memohon kebenaran supaya kelulusan operasi dibenarkan.

"Jika SOP perlu diperketatkan pun kami sanggup atau benarkan kami buka kedai pada hujung minggu. Hadkan hanya seorang sahaja dibenarkan datang untuk cuci kereta untuk elak jangkitan.

" Apabila pusat cuci kereta tak dibenarkan operasi, ia juga menyusahkan mereka yang tinggal di rumah bertingkat untuk cuci kereta, jangkitan kuman juga tinggi kerana kenderaan tidak dilakukan sanitasi atau pembersihan," katanya.

Chee Heng
Chee Heng

Sementara itu, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang menyifatkan larangan operasi terhadap perniagaan pusat cuci kereta itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

"Apabila tiada pusat cuci kereta operasi, orang awam terpaksa cuci kereta sendiri, mereka yang duduk rumah lot, teres bolehlah cuci sendiri tapi bagi yang duduk di pangsapuri yang bermasalah.

" Saya sendiri hadapi kesukaran untuk cuci van jenazah. Biasanya van jenazah ini perlu dicuci setiap kali lepas digunakan untuk kebersihan, tapi apabila tiada kedai yang buka memang masalah.

" Masalah juga kepada kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan grab, pelanggan silih berganti, kalau tidak disanitasi atau dibersihkan risiko kepada pengguna lain," katanya.

Beliau berharap, kerajaan mempertimbangkan rayuan pengusaha pusat cuci kereta dan perketatkan SOP jika perlu.

"Pengusaha pusat cuci kereta pun nak hidup juga. Risiko jangkitan di pusat cuci kereta lebih rendah berbanding kawasan tumpuan awam seperti di pasaraya yang boleh berniaga.

"Harap kerajaan benarkan pusat cuci kereta operasi, galakkan operasi sanitasi pada kenderaan untuk elak penyakit dan wabak semasa Covid-19 ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!