Nik Ezanee semai nilai murni 'one good deed a day'

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Nilai murni 'one good deed a day' menjadi 'misi' dalam kalangan anggota polis Petaling Jaya dalam usaha memberi khidmat terbaik untuk masyarakat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, masyarakat akan melihat sikap keikhlasan penugasan anggota polis jika diterapkan dengan nilai murni itu.

"Masyarakat mudah lupa jika kita memaparkan kisah kejayaan menangani jenayah, namun mereka pasti akan ingat sampai bila-bila jika kita selalu buat perkara yang baik," katanya dalam wawancara khas baru-baru ini.

Kisah Nik Ezanee, 43, membantu seorang ibu kepada tiga anak yang disyaki mencuri barang seperti penyejuk demam 'KoolFever', kek pandan dan sosej di sebuah pasar raya sangat menyentuh perasaan umum.

"Saya mengambil keputusan mengklasifikasikan kes itu sebagai 'Tiada Tindakan Susulan' (NFA), sebaik mendengar perincian berhubung kes berkenaan daripada pegawai penyiasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membayar semula barangan yang disyaki dicuri itu sebelum mendermakannya kepada wanita berkenaan.

"Saya turut berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyampaikan bantuan berupa keperluan harian kepada keluarga itu," katanya.

Nik Ezanee berkata, mencuri itu sememangnya adalah satu jenayah tetapi kalau ingin menghukum satu keluarga yang miskin dan kelaparan itu juga adalah satu perkara yang tidak betul.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat terdapat dua perbezaan pendapat di sini, pertamanya pendapat orang yang suka dengan tindakan saya membantu wanita terbabit dan keluarganya yang berada dalam situasi kesusahan.

"Pendapat kedua pula ada yang mendakwa cara saya ini seolah-olah menggalakkan orang yang dalam situasi sama dengan wanita itu mencuri, namun bukan itu niat saya," katanya.

Nik Ezanee berkata, beliau minta maaf kepada semua pihak jika perbuatannya itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

"Tujuan saya berjumpa wanita berkenaan baru-baru ini adalah untuk menasihatinya supaya tidak mengulangi pelakuan jenayah yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai saluran untuk bantuan kepada orang-orang yang mengalami kesusahan.

"Kita ada JKM, Lembaga Zakat Selangor (LZS), masjid dan rumah ibadat lain sekiranya kita hadapi masalah.

"Akhir sekali saya beritahu kepada wanita itu, kalau susah sangat nak dapatkan bantuan, datanglah ke balai saya, InsyaALLAH kita cuba bantu," katanya.

Penularan kisah Nik Ezanee dan wanita berkenaan turut memberikan impak positif apabila masyarakat mula sedar tentang fungsi sebenar JKM dan LZS sekali gus menjauhkan diri mereka daripada mempunyai niat untuk mencuri disebabkan faktor lapar dan susah.

"Ketua Pegawai Eksekutif LZS ada datang jumpa dengan saya, beliau menerangkan pelbagai bantuan yang disediakan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesusahan namun tidak disedari orang ramai.

"Mungkin selama ini, segelintir masyarakat hanya lihat kehadiran LZS di sesebuah lokasi hanya untuk mengutip bayaran zakat namun sebenarnya itu tidak betul," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan LZS untuk mengenal pasti golongan asnaf yang berada dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Saya merancang untuk memberi ruang kepada LZS untuk mengadakan aktiviti pengagihan sumbangan bantuan makanan, barang keperluan serta kewangan selama dua hari di pekarangan IPD Petaling Jaya.

"Saya mengenali banyak persatuan penduduk di Petaling Jaya ini dan telah minta mereka mengesan individu atau keluarga yang berada dalam keadaan susah serta miskin di sekitar kawasan kediaman mereka," katanya.

Nik Ezanee berharap perkara itu boleh menjadi contoh dan panduan, serta menjadi satu tambah nilai daripada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada masyarakat selain menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!