Tentera Myanmar tahan Aung San Suu Kyi
YANGON - Pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi ditahan tentera Myanmar, kata jurucakap parti itu pada Isnin.
“Kita mendapat maklumat bahawa Presiden (Win Myint) dan Aung San Suu Kyi sudah ditahan di Naypyidaw oleh tentera.
“Berdasarkan situasi semasa, NLD beranggapan bahawa tentera kini merancang untuk melakukan rampasan kuasa," kata jurucakap NLD, Myo Nyunt.
Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin tentera, Jeneral Min Aung Hlaing mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan Myanmar.
Rampasan kuasa itu, katanya, sekali gus menangani krisis politik yang kian rapuh di Myanmar.
Sejak beberapa minggu lalu, pihak Tatmadaw (nama rasmi tentera Myanmar) menuduh Pilihan Raya Umum November lalu dicemari dengan penipuan undi.
Pilihan raya itu menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi meraih kemenangan besar.
Wakil rakyat baharu dijangka bersidang di Parlimen pada Isnin dengan kawalan keselamatan di ibu kota, Naypyidaw diperketatkan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!