Ebit Lew sebak satu kampung jadi saudara baharu
SEMPORNA - Seramai 157 penduduk di Pulau Tatagan, Semporna, Sabah mengucap dua kalimah syahadah disaksikan pendakwah terkenal, Ebit Lew sekali gus menyaksikan satu kampung berkenaan memeluk Islam pada petang Ahad.
Berita gembira itu dikongsi Ebit dalam misi memberi bantuan kepada mangsa Covid-19 di Sabah yang dimuat naik di akaun Facebook hingga menarik perhatian warga maya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew yang merupakan seorang mualaf memberitahu, kesemua penduduk daripada suku Bajau Laut itu memeluk Islam dengan kerelaan tanpa paksaan.
Katanya, penduduk tersebut menjadikan bot atau pondok kecil atas laut sebagai rumah untuk berteduh.
"Ya ALLAH menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini (Ahad).
"Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara. Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun," katanya.
Mengulas mengenai peristiwa bersejarah itu, kata usahawan itu, ketika menyampaikan bantuan, penduduk bertanyakan kepada beliau perihal agama.
"Tiba-tiba ramai tanya saya siapa Tuhan. Tuhan itu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua di keliling bot tadi.
"Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih ALLAH," katanya menerusi Facebook berkenaan.
Ebit berkata, selain meneruskan bantuan makanan kepada seluruh kampung atas laut, beliau berhasrat untuk membina sebuah sekolah dan sedang mencari tenaga pengajar membimbing anak-anak itu agar menjadi manusia berguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!