Tapak carigali emas haram dikesan

Palong besi dipercayai digunakan dalam aktiviti melombong emas secara haram disita pihak PHD Lipis untuk siasatan lanjut. - Foto JPNP
Palong besi dipercayai digunakan dalam aktiviti melombong emas secara haram disita pihak PHD Lipis untuk siasatan lanjut. - Foto JPNP
A
A
A

KUANTAN - Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini pada Sabtu.

Penemuan itu hasil siasatan dan serbuan dilakukan PHD Lipis namun tiada tangkapan dibuat kerana berkenaan sudah dihentikan dan pelombong haram meninggalkan kawasan tersebut.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan terbabit menemui tapak khemah yang digunakan kumpulan sindiket dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman melombong emas.

"Pemeriksaan turut menemui sebuah jengkaut dan lori hantu yang disimpan di satu kawasan kira-kira dua kilometer dari tapak tersebut selain sebuah palong untuk aktiviti tersebut," katanya.

Nor Shahrini berkata, semua jentera yang ditemui telah disita dan proses membawa keluar mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18 Tersang, Raub.

Sebuah lori yang ditemui disimpan di lokasi kira-kira dua kilometer dari tapak cari gali emas haram terbabit turut disita. - Foto JPNP
Sebuah lori yang ditemui disimpan di lokasi kira-kira dua kilometer dari tapak cari gali emas haram terbabit turut disita. - Foto JPNP

Beliau berkata, aktiviti cari gali emas itu dipercayai masih baharu kerana tahap kemusnahan kawasan belum serius.

"Kita dapati sudah berlaku kerja awal mengaut pasir dan batu dari sungai bagi tujuan mendapatkan emas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes itu merupakan kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini.

"Kami sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram di kawasan hutan simpan dan sepanjang tahun lalu sebanyak lima kes berjaya dikesan manakala beberapa individu telah ditahan.

"Kegiatan melombong secara haram di dalam hutan simpan bukan sahaja menyebabkan pencemaran sumber air tetapi berlaku hakisan dan kemusnahan hutan tanpa kawalan," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit menggunakan peralatan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas sehingga sanggup mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan melombong secara haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!