Arwah selalu ingatkan jangan lupa solat, kata pramugari
JAKARTA - Juruterbang pesawat Sriwijaya Air, Kapten Afwan disifatkan individu yang kuat beribadah sehingga kelibat dan nasihatnya dirindui semua staf syarikat penerbangan itu.
Menerusi laporan Tribunnews, pemergiannya amat dirasai terutama pramugari pesawat itu, Naning yang menyatakan arwah seorang yang baik dan sering mengingatkan tentang solat.
“Arwah adalah orang yang baik, dia selalu ingatkan jangan lupa solat.
"Dia juga tidak pernah meninggalkan ibadah dan tidak pernah marah walaupun keadaan penerbangan tertangguh atau ada masalah lain," katanya yang kali terakhir menjadi kru penerbangan bersama arwah pada Disember 2020.
Sementara itu, Mareta berkata, arwah merupakan seorang yang penyayang dan suka mengambil berat mengenai masalah krunya.
"Dia suka bertanya keadaan krunya sama ada ada dalam keadaan baik atau sebaliknya. Begitu juga dengan keluarganya, sebaik tiba di lapangan terbang, arwah akan menghubungi mereka terlebih dahulu.
"Beliau sangat menyayangi keluarga. Semoga isteri, anak-anaknya diberi ketabahan mengharungi dugaan ini," katanya.
Jenazah Afwan adalah individu terakhir ditemukan oleh anggota penyelamat dan selamat dikebumikan di Taman Makam Bahagia, Pondok Rajeng, Bogor, Sabtu lalu.
Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air yang mengorbankan 62 kru dan penumpang termasuk 10 kanak-kanak dipercayai terhempas pada ketinggian kira-kira 3,000 meter dalam masa kurang seminit sebelum menjunam ke Laut Jawa sejurus berlepas dari Jakarta.
Arwah yang merupakan anak keempat daripada lima beradik lahir pada 26 Februari 1966 meninggalkan isteri, Pipit Rachimawati, 35, dan tiga anak perempuan berusia enam hingga 14 tahun.
Sementara itu, ahli keluarga arwah, Sjafzan Badar berkata, semasa hidup kapten itu sering menjadi imam di Masjid Ad-Daulah.
“Arwah sering menyampaikan dakwah dan nasihat kepada anak serta anak saudaranya. Kami kehilangan individu yang menjadi kebanggaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!