Keputusan kes rasuah RM3 juta Isa Samad Rabu ini

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan mengetahui nasibnya berhubung sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak yang dihadapinya, pada Rabu ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memutuskan sama ada Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bersalah atas pertuduhan itu atau membebaskannya.

Mohd Nazlan dijangka menyampaikan keputusannya pada jam 9.30 pagi.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bermula pada 8 Oktober 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi termasuk bekas Ketua Pengarah Felda, Datuk Hanapi Suhada; bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid Abdul Jalil, Ikhwan dan Muhammad Zahid.

Pada 16 Jun lepas, Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri atas sembilan pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti kukuh yang menepati setiap inti pati kesalahan menerima suapan menurut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM.

Artikel Berkaitan:

Hakim bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mohd Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan prosiding pembelaannya bermula pada 17 Ogos tahun lepas.

Dalam keterangannya, Mohd Isa menafikan menerima RM3 juta menerusi sembilan transaksi daripada Muhammad Zahid berhubung pembelian MPHS pada 2014.

“Saya tidak pernah mengarahkan Zahid (Muhammad Zahid) meminta Haji Ikhwan (Ikhwan Zaidel) untuk memberikan sebarang ganjaran kepada saya kerana membantu meluluskan pembelian MPHS,” katanya.

Pada 3 September tahun lepas, pasukan pembelaan Mohd Isa menutup kes mereka selepas memanggil enam saksi termasuk bekas setiausahanya, Zuraida Ariffin@Shaari serta bekas pegawai khas beliau, Kamar Bashah Shariff bagi memberi keterangan dengan Mohd Isa dipanggil menjadi saksi pertama.

Pada 24 Disember tahun lepas, dalam hujah di akhir kes pembelaan, peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata wang RM3 juta itu ialah untuk Muhammad Zahid dan kroninya bukan untuk Mohd Isa.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz pula menghujahkan bahawa keterangan Zuraida menunjukkan Muhammad Zahid bebas memasuki bilik pejabat Mohd Isa tanpa memerlukan kebenaran sesiapa dan kehadirannya di bilik tertuduh juga tidak direkodkan oleh Zuraida.

“Ini cukup untuk membuktikan Muhammad Zahid ada akses kepada pejabat tertuduh dan beliau boleh memasuki bilik pejabat tertuduh untuk menyerahkan wang daripada Ikhwan seperti yang beliau nyatakan dalam keterangannya. Ini juga jelas menunjukkan Zuraida tidak nampak Muhammad Zahid menyerahkan wang itu kepada tertuduh,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!