Ras Adiba kini bergelar Datuk
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Mohd Radzi pada Isnin dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Ras Adiba, 52, merupakan antara 81 individu menerima PMW, satu daripada Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada Isnin.
Ahli Dewan Negara dan atlet paralimpik negara itu menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu penghormatan terbesar buat dirinya serta komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
"Pengurniaan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjuang, seterusnya memperkasakan komuniti OKU dan golongan memerlukan. Ia satu anugerah yang amat saya hargai kerana ini adalah penghargaan buat komuniti OKU dan ini adalah rezeki untuk semua.
"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan terima kasih diucapkan kepada semua terutama keluarga dan sahabat yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya," katanya kepada Bernama.
Ras Adiba dilantik sebagai Pengerusi Bernama untuk tempoh tiga tahun pada 23 November lepas.
Selain menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu, bekas personaliti televisyen itu juga mengetuai badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU, iaitu OKU Sentral.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain berkata, kurniaan darjah kebesaran kepada Ras Adiba merupakan satu lagi pengiktirafan dalam bidang penyiaran dan pemberitaan, selain penghargaan buat beliau yang sentiasa memperjuangkan hak golongan OKU.
“Tahniah diucapkan kepada Senator Ras Adiba. Semoga dengan pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk memacu Bernama sebagai agensi berita yang lebih dinamik dan berjaya pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ras Adiba atas kurnian darjah kebesaran itu melalui ciapan di Twitter rasminya.
Seramai 335 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama dengan enam penerima.
Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri (24 penerima); PMW (81 penerima), Johan Mahkota Wilayah (JMW) (49 penerima), Kesatria Mahkota Wilayah (KMW.), 31 (76 penerima) Ahli Mahkota Wilayah (AMW) (31 penerima) dan 68 penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata tarikh Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 sedang ditentukan dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima kelak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!