Bergilir-gilir guna telefon belajar dalam talian
ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal di Kampung Padang, Jalan Pegawai, dekat sini tidak mampu menyediakan gajet bagi membolehkan anak-anaknya belajar secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Siti Hajah Din, 46, yang bekerja mengambil upah mencuci pinggan mangkuk dengan pendapatan harian RM10 berkata, telefon miliknya digunakan secara bergilir-gilir oleh dua anaknya, Muhamad Hafiz Zulkifli, 17, dan Nor Hazira Zulkifli, 14, yang belajar di SMK Seberang Perak, dekat sini.
Menurutnya, selain itu, telefon itu juga digunakan oleh anak sulungnya, Muhammad Hakim Zulkifli, 19, untuk berniaga dalam talian bagi menampung pendapatan keluarga.
"Muhammad Hafiz akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dan Nor Hazira perlu mengalah dan memberikan laluan kepada abangnya jika pembelajaran dalam talian mereka bertindih.
"Hanya telefon itu yang akan digunakan secara bergilir-gilir oleh mereka dan saya akan tinggalkannya di rumah jika ada yang panggil untuk basuh pinggan mangkuk ataupun menyiram pokok bunga," katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Perhubungan Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Negeri Kedah/Perlis, Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa di rumahnya pada Ahad.
Muhammad Hakim pula berkata, perniagaan dalam talian dengan menjual kelengkapan komputer bersama rakan-rakannya sedikit sebanyak mampu meraih pendapatan sekitar RM300 sebulan bagi membantu keluarganya.
"Saya berhenti belajar di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dalam kursus Diploma Kejuteraan Elektrik dan Elekronik tahun lepas selepas belajar dua bulan kerana tidak selari dengan minat saya dalam bidang komputer.
"Kini saya mahu fokus bantu keluarga dahulu termasuk berniaga dalam talian namun hasrat untuk belajar masih lagi ada," katanya.
Dalam pada itu, Nor Hazira berkata, biarpun berdepan kekangan untuk belajar semasa PKP disebabkan terpaksa berkongsi telefon pintar, namun dia sedaya upaya akan terus fokus untuk mengekalkan kecemerlangan dalam akademiknya.
Nasib yang menimpa keluarga ini mendapat perhatian YPM Kedah/Perlis yang menyumbangkan sebuah tablet untuk memudahkan pembelajaran dalam talian bagi kedua-dua pelajar tersebut.
Muhd Akmal Fawwaz ketika ditemui berkata, rekod baik Nor Hazira di dalam akademik menyaksikan anak ketiga daripada empat beradik itu akan dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai anak angkat YPM.
"YPM cakna kepada pendidikan anak-anak yang datang daripada golongan B40. Pemberian tablet itu juga adalah untuk memudahkan mereka belajar semasa PKP. Kita harap sumbangan ini akan menyemarakkan lagi semangat anak-anak dalam keluarga ini untuk berjaya dalam akademik sekali gus mengubah nasib keluarga mereka apabila berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!