PKPD di Penjara Sungai Udang, kuarters bermula 3 Februari

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangan, Melaka mulai 3 Februari. - Gambar hiasan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Penjara Sungai Udang dan kuarters kakitangan, Melaka mulai 3 Februari. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Penjara Sungai Udang Melaka dan kuarters kakitangannya bermula Rabu ini sehingga 16 Februari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di lokasi tersebut.

Katanya sehingga semalam, sebanyak 113 kes positif direkodkan melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga mereka.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan pelaksanaan PKP pada Isnin.

Menyentuh mengenai operasi pematuhan PKP di seluruh negara semalam, beliau berkata 826 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 776 orang dikompaun manakala 50 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran.

Ismail Sabri turut mengingatkan bahawa mulai hari ini (1 Februari), kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung pihak majikan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!