Zii Jia hilang keyakinan diri
JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui Lee Zii Jia mengalami masalah keyakinan diri selepas aksi hambar dipamerkan pemain itu dalam tiga kejohanan di Bangkok, Thailand.
Menurutnya, Persatuan Badminton Malaysia akan menilai kembali dan menambah baik pendekatan latihan yang akan diterapkan kepada pemain berusia 22 tahun itu.
"Kami mengakui Zii Jia tidak beraksi baik dalam tiga kejohanan yang disertainya itu. Dia seperti hilang keyakinan diri dan ragu-ragu dalam membuat keputusan (ketika di atas gelanggang).
"Kami akan mengkaji dan melihat kembali pendekatan latihan untuknya. Kami juga melihat pihak lawan seperti sudah dapat membaca dengan mudah corak permainan Zii Jia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Terbuka Thailand Yonex, Zii Jia tewas 17-21, 15-21 kepada Tien Chen pada pusingan suku akhir disusuli kekalahan 21-18, 25-27 dan 19-21 kepada pemain kurang ternama dari India Sameer Verma seawal pusingan pertama, dalam siri kedua kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 1000, Terbuka Thailand Toyota.
Dalam aksi Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF minggu lalu, Zii Jia gagal meraih sebarang kemenangan termasuk hanya mampu mengutip empat mata pada set kedua ketika menentang Viktor Axelsen.
Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, prestasi Zii Jia dalam tiga kejohanan tersebut seolah-olah memberikan amaran kepada badan induk itu melakukan sesuatu dalam usaha meningkatkan permainan pemain tersebut.
"Persembahan Zii Jia sudah tentu seperti memberikan amaran kepada kami dan akan mengkaji kekurangan yang berlaku sebelum menjelang kejohanan akan datang. Sudah tentu, kami telah mengenal pasti masalahnya dan akan memodelkan semula rancangan latihannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!