Bekas pesakit Covid-19 kongsi pengalaman, akui emosi masih terganggu
KUALA PILAH - Seorang bekas pesakit Covid-19 mengakui kerap menangis apabila disahkan positif wabak itu pada awal Januari lalu sehingga menyebabkan emosinya terganggu.
Kisah perit itu dikongsi Suraya Mohd Ali, 39, yang merupakan kakitangan kerajaan ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Isnin.
Suraya berkata, semuanya bermula selepas dia mendapatkan rawatan susulan berhubung sakit lututnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Disember tahun lalu ditemani suami dan tiga orang anak perempuannya masing-masing berumur 15 hingga 18 tahun.
"Empat hari kemudiannya saya mengalami demam, batuk dan selesema selain hilang deria rasa serta bau.
"Pada 5 Januari saya ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian Covid-19. Pada sebelah petangnya pihak kesihatan memaklumkan saya positif wabak itu.
"Tiada kata yang mampu saya ungkapkan ketika itu, hanya menangis, meraung sepuas-puasnya mengenangkan nasib sendiri, keluarga dan orang sekeliling saya. Bermacam-macam perkara berlegar-legar dalam kepala," katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Tampin.
Katanya, selepas disahkan positif wabak itu, anak-anak, suaminya serta rakan sekerjanya menjalani kuarantin kendiri dan turut menjalani saringan ujian Covid-19 pada 8 Januari lepas.
"Ketiga-tiga anak saya kemudiannya disahkan positif dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut pada 13 Januari lepas, manakala suami dan kesemua rakan sekerja yang terlibat disahkan negatif wabak tersebut.
"Alhamdulillah... kini kami telah bebas wabak itu dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya keluarga, jiran-jiran juga rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan kata-kata semangat," katanya.
Namun katanya, di sebalik kejadian itu dia tidak menafikan tidak terlepas daripada pandangan negatif sesetengah pihak terhadap bekas pesakit Covid-19.
"Secara jujurnya kami kecewa juga kerana ada segelintir pihak yang memandang negatif terhadap kami (bekas pesakit Covid-19) seolah-olah kami telah melakukan jenayah begitu berat sedangkan kami sendiri tidak mahu hal ini terjadi.
"Pengalaman ini sangat menakutkan dan sehingga kini emosi saya dan keluarga sedikit terganggu terutamanya anak-anak. Saya berharap masyarakat sentiasalah memberikan kata-kata positif dan sokongan kepada bekas pesakit Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!