KPDNHEP keluarkan 248 notis

Rosol (kiri) membantu orang ramai yang datang membeli barang keperluan di Prihatin Mart di Kuala Telemong, Hulu Terengganu pada Isnin.
Rosol (kiri) membantu orang ramai yang datang membeli barang keperluan di Prihatin Mart di Kuala Telemong, Hulu Terengganu pada Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Sebanyak 248 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan melalui Ops Catut 8.0 yang diadakan sejak 25 Januari lalu.

Menurutnya, melalui notis berkenaan peniaga diminta membuat pengesahan maklumat barangan dan ia dilakukan bagi mengesan kewujudan sebarang elemen pencatutan atau mengambil untung berlebihan.

“Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan selama 14 hari bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi pemantauan ke atas peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik akan dilakukan sehingga Isnin depan.

"Peniaga yang menerima notis itu diberi tempoh dua hari untuk mengemukakan maklum balas dan maklumat secara terperinci harga jualan dan kos barangan bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika melawat jualan perintis projek komuniti, Prihatin Mart di Kampung Kuala Telemong, di sini pada Isnin.

Prihatin Mart ialah kedai runcit bergerak yang menawarkan jualan barangan makanan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, hasil inisiatif dan sumbangan Rosol kepada komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Usaha itu dibuat atas keprihatinan dan kecaknaan kerajaan Perikatan Nasional untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama yang terkesan dan terjejas dengan pandemik Covid-19 serta golongan B40.

Prihatin Mart menawarkan pelbagai barangan makanan asas seperti gula, beras, minyak masak, susu pekat, tepung, makanan dalam tin, bahan masakan dan minuman berperisa pada harga patut lebih murah dan kompetitif ke arah menangani kos sara hidup rakyat.

Rosol berkata, Prihatin Mart yang memuatkan nilai barangan sehingga RM15,000 akan bergerak dari satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke DUN lain di Parlimen Hulu Terengganu mengikut jadual ditetapkan.

“Kerajaan akan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dan pelaksanaan Prihatin Mart atau kedai runcit bergerak ini akan diperluaskan secara berperingkat untuk menjamin kepentingan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!