Tatmadaw rampas kuasa
Tatmadaw turut mengumumkan bekas Jeneral Myint Swe yang juga Naib Presiden akan menjadi pemangku presiden selama setahun.
Menerusi kenyataan diumumkan Myawaddy TV dan ditandatangani Swe, beliau menyatakan kawalan perundangan, pentadbiran dan kehakiman kini diserahkan kepada Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing yang secara efektif mengembalikan pemerintahan junta tentera di negara itu.
Kudeta itu sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan awam di negara itu selama sedekad dan tentera mengambil peluang untuk merampas kuasa selepas ia mendakwa berlaku penipuan dan 'penyelewengan besar' pada Pilihan Raya Umum pada November lalu yang menyaksikan kemenangan besar parti pimpinan Suu Kyi.
"Situasi itu perlu diselesaikan mengikut undang-undang," ujar tentera menerusi pengumuman disiarkan saluran TV mereka.
Menurut Tatmadaw, mereka juga akan mengadakan pilihan raya baharu dan menyerahkan kuasa kepada parti yang menang secara sah apabila tempoh perintah darurat itu berakhir.
"Kami akan melaksanakan pemilihan yang bebas dan adil," tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, tentera dikatakan merampas kawalan Dewan Perbandaran di Yangon sebelum pengumuman rampasan kuasa itu dibuat.
Beberapa jalan utama sekitar ibu negara turut dikawal anggota tentera dan kenderaan pasukan itu termasuk kereta kebal selain beberapa helikopter dilihat berlegar-legar sekitar bandar tersebut.
Minggu lalu, Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing memberi amaran Perlembagaan 2008 Myanmar boleh dipinda di bawah situasi tertentu seakan memberi bayangan rancangan rampasan kuasa tersebut. - AFP
Info:
>Myanmar pernah berdepan dua rampasan kuasa pada 1962 dan 1988 sejak ia memperoleh kemerdekaan daripada United Kingdom (UK) pada 1948.
>Pada 1962, Jeneral Ne Win menggulingkan pemerintahan awam selepas mendakwa ia tidak cukup cekap untuk memerintah. Beliau memerintah selama 26 tahun sebelum berundur pada 1988 kerana berdepan siri protes mega yang membantah pemerintahan autoritarian.
>Generasi baharu pemimpin tentera mengambil alih pemerintahan beberapa minggu kemudian atas alasan perlu memulihkan undang-undang dan ketenteraman.
>Pada 2011, pemimpin junta, Jeneral Than Shwe menyerahkan kuasa kepada jeneral bersara, Thein Sein yang dilantik sebagai Presiden Kelapan Myanmar.
>Pilihan Raya Umum pada November lalu adalah pemilihan demokrasi kedua di negara itu sejak ia bebas daripada cengkaman 49 tahun pemerintahan junta tentera pada 2011.
> NLD meraih lebih 80 peratus undi yang menyaksikan peningkatan sokongan berbanding pada 2015.
>Tatmadaw dakwa menemui lebih 10 juta undi yang dicemari penipuan. Ia menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan senarai pengundi untuk pemeriksaan silang, namun badan itu gagal berbuat demikian.
>Perlembagaan 2008 memberikan peranan politik secara meluas kepada tentera termasuk memberi kawalan terhadap Kementerian Pertahanan, isu dalam negara dan sempadan.
>Sebarang perubahan dalam Perlembagaan perlu mendapat sokongan wakil tentera yang menguasai satu perempat kerusi Parlimen.
>Suu Kyi pernah dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun ketika di bawah pemerintahan junta tentera sebelum ini. Perjuangan beliau menuntut demokrasi melayakkannya menerima Hadiah Nobel Keamanan. Namun, imej beliau tercalar kerana mempertahankan tindakan kekerasan Tatmadaw terhadap komuniti Islam Rohingya pada 2017.
>Ketua Menteri Negeri Karen dan beberapa menteri wilayah lain turut ditahan Tatmadaw.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!