Penduduk Rawang boleh lakukan saringan Covid-19 serendah RM50

Wei Kiat melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Dr DV (Klinik Kesavan) di Pusat Bandar Baru Rawang pada Isnin.
Wei Kiat melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Dr DV (Klinik Kesavan) di Pusat Bandar Baru Rawang pada Isnin.
A
A
A

RAWANG - [DIKEMASKINI] Penduduk di Rawang boleh melakukan ujian saringan Covid-19 RTK Antigen di Klinik Dr DV (Klinik Kesavan) Pusat Bandar Baru Rawang, di sini dengan kadar bayaran RM50 bermula Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, program itu adalah usaha bersama pusat khidmatnya dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Selayang dan Persatuan Kebajikan Rakyat Masyarakat Rawang Selangor.

Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan antara Isnin ke Jumaat (kecuali cuti umum) bermula jam 2 hingga 4 petang, sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan kelak.

"Program ini adalah bagi membantu golongan memerlukan memandangkan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di luar mahal, yang paling murah pun serendah RM120.

"Ia selari dengan usaha pengesanan Covid-19 dalam masyarakat, di Selangor kes jangkitan Covid-19 membimbangkan yang angkanya mencecah 3,000 kes sehari.

"Diharap dengan usaha ini dapat membantu pengesanan Covid-19 lebih awal bagi mengelak jangkitan merebak dalam masyarakat," katanya pada pelancaran ujian saringan Covid-19 RTK Antigen yang berlangsung di Klinik Dr DV, di sini pada Isnin.

Antara penduduk Rawang yang melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Dr DV (Klinik Kesavan) dengan kadar bayaran RM50.
Antara penduduk Rawang yang melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Dr DV (Klinik Kesavan) dengan kadar bayaran RM50.

Hadir sama Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Pengarah Klinik Kesavan, Dr D Vignesan dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Rakyat Masyarakat Rawang Selangor, Uthaya Kumar.

Artikel Berkaitan:

Program itu terbuka kepada pengundi Rawang atau pemegang kad pengenalan beralamat di DUN Rawang.

Sementara itu, William berkata, program sama juga dilaksanakan di DUN Taman Templer dan akan diteruskan ke kawasan lain termasuk Kuang dan Kundang.

Katanya, ia merupakan inisiatif bersama kerajaan negeri dalam membantu mengawal Covid-19.

"Jika kita lihat di peringkat awal jumlah kes hanya dua digit berbanding sekarang angkanya sungguh mengejutkan, kes positif mencecah 5,000 kes sehari di seluruh negara dan 3,000 di Selangor.

"Susulan itu, Ahli Parlimen dan ADUN telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk melihat kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat.

"Darurat dan PKP tak cukup untuk mendepani wabak Covid-19, ia perlu disusuli pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!