Bangladesh perkasa keupayaan tentera
KEPUTUSAN Bangladesh memilih helikopter penggempur termaju AH-64E Apache buatan Amerika Syarikat (AS) sebagai aset terbaharunya bakal melonjakkan kuasa tempur negara tersebut yang sering dilihat dengan imej sebagai negara miskin selain memiliki penduduk antara paling padat di dunia.
Bangladesh yang kini berstatus negara berpendapatan sederhana secara perlahan-lahan tetapi konsisten dilihat sedang membangunkan keupayaan tenteranya sebagai sebuah angkatan konvensional.
Malah, belanjawan pertahanan negara itu juga meningkat sehingga 120 peratus sepanjang 10 tahun lalu yang keseluruhannya berjumlah kira-kira AS$24.2 bilion.
Menerusi program diberi nama Forces Goal, rancangan pemodenan selama lima tahun angkatan tentera Bangladesh ini membabitkan peruntukan kira-kira AS$5.2 bilion.
Pemodenan aset ini turut mempunyai hubung kait dalam soal keselamatan Bangladesh yang kini bergelut menangani lebih sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di kem di Cox's Bazar akibat keganasan di Rakhine.
Pada Januari 2018, kerajaan Myanmar dan Bangladesh memeterai perjanjian untuk menetapkan tempoh masa bagi penghantaran pelarian balik ke Myanmar.
Dari segi ekonomi pertahanan, nilai penjualan helikopter Apache ini hanya pada angka sederhana tetapi apa yang lebih penting bagi AS ialah untuk merapatkan lagi status sebagai negara sahabat Bangladesh sejajar dengan Strategi Indo-Pasifik.
Laporan Strategi Indo-Pasifik yang telah dilancarkan AS pada Jun 2019 menyebut bahawa Laut China Selatan dan Lautan Hindi merupakan perairan strategik maritim di rantau ini.
Antara aset-aset buatan AS yang telah digunakan tentera Bangladesh seperti 20 buah helikopter Bell 212, Bell 206 dan pesawat pengangkut C-130 Hercules.
China ketika ini merupakan pembekal kelengkapan ketenteraan utama di sana dengan nilai jualan mencecah AS$2 bilion sepanjang 10 tahun lalu. Sebahagian besarnya pula dijual menerusi pakej khas pada harga sangat kompetitif.
Antaranya penjualan dua buah kapal selam terpakai Type-035G kelas Ming yang diterima pada tahun 2017 dengan harga AS$200 juta bagi memperkuatkan kuasa maritim Bangladesh di Teluk Benggal.
Biarpun kemampuan kapal selam berkuasa diesel elektrik ini, BNS Nabajatra dan BNS Joyjatra sangat terhad tetapi pemilikannya dilihat sebagai persediaan Bangladesh untuk mengoperasikan aset lebih baik pada masa hadapan.
Tentera Laut Bangladesh juga menerima dua frigate terpakai China iaitu Type 053H1 selain membeli dua buah korvet termoden iaitu C13B dengan keupayaan pertempuran tiga dimensi.
Aset-aset lain buatan China seperti sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat FM90, 44 buah kereta kebal MBT2000 dan sistem pelancar roket berganda WS-22. Bangladesh juga memiliki 54 buah meriam mudah gerak jenis Nora B-52K-I buatan Serbia.
Rusia pada tahun 1999 pula membekalkan lapan buah pesawat tempur MiG-29B/UB yang menjadi tunjang Tentera Udara Bangladesh (BAF) selain 35 buah pesawat J-7 Chengdu buatan China.
Turut memperkuatkan BAF ialah 13 buah pesawat tempur ringan dan latihan (LCA) Yak-130 buatan Rusia yang diterima lima tahun lalu manakala 23 buah LCA Hongdu K-8W dibeli dari China pada 2018.
Negara itu juga membayangkan untuk memperolehi sekurang-kurangnya lapan pesawat tempur termoden sama ada Sukhoi SU-30SM atau SU-35.
Bangladesh turut memainkan peranan signifikan pada pentas antarabangsa apabila menjadi negara utama penyumbang tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kira-kira 6,798 tentera dan polisnya kini menyertai pelbagai misi PBB di beberapa wilayah bergolak.
Sebagai negara ke-45 terkuat di dunia dengan kira-kira 200,000 tentera, Bangladesh ingin dilihat berpengaruh serta mempunyai kepentingan strategik.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang itu sejak 23 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!