Tidak perlu tunggu arahan

A
A
A

SHAH ALAM - Para pendakwah dan agamawan tidak perlu menunggu arahan daripada pihak berkuasa agama untuk menjelaskan hukum rasuah dan kesan buruknya ke pengetahuan umum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ini kerana memberi sesuatu penerangan merupakan usaha amar makruf dan nahi mungkar.

Beliau berkata, memberi atau menerima rasuah adalah satu perbuatan keji yang berbahaya, malah jika amalan ini tersebar dalam masyarakat ia akan membawa kepada keadaan tidak stabil dan boleh meruntuhkan sebuah negara.

“Oleh itu, semua pihak wajib bekerjasama untuk membanteras perbuatan keji ini berdasarkan perintah ALLAH SWT supaya semua pihak saling bekerjasama dan tolong menolong dalam melaksanakan kebaikan dan taqwa.

“Paling penting agar semua pihak tidak bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan,” katanya.

Tambah Wan Salim, para agamawan perlu menerangkan akibat buruk gejala rasuah ini di mana jua mereka berkesempatan untuk menyuarakan pandangan.

Menurutnya, pendakwah dan penceramah agama mempunyai akses kepada orang awam melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan di masjid dan surau.

“Mereka juga boleh menggunakan pelbagai kemudahan media dan komunikasi moden untuk menyalurkan segala ilmu dan maklumat tentang keburukan amalan rasuah ini sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat awam supaya tidak membabitkan diri ke kancah perbuatan yang hina,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Akademi Keluarga Fitrah dan Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Isfadiah Mohd Dasuki berkata, penceramah agama tidak perlu mendapat kebenaran khas untuk bercakap atau memberi ceramah khusus berkaitan isu rasuah dalam kuliah mereka.

“Penceramah agama boleh berbicara mana-mana topik tentang agama. Jika soal berkaitan rasuah, ia merupakan salah satu bab dalam ajaran agama kita.

“Maka saya kira ketua-ketua agama negeri dalam kalangan Raja-raja Melayu sangat berbesar hati dan menyetujui perkara yang baik ini sebab ia sangat jelas dalam dalil tentang isu rasuah ini,” katanya.

Setakat ini juga katanya, tidak pernah ada sekatan untuk beliau mahupun penceramah agama lain bercakap atau memberi nasihat tentang isu rasuah dalam ceramah atau kuliah agama.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai penceramah agama, rasuah ini merupakan antara topik yang biasanya diminta oleh pihak-pihak institusi kerajaan sendiri untuk kami kupas dan bincangkan.

“Cuma dalam ceramah atau kuliah kita tak sebut perkataan rasuah tetapi lebih fokus kepada perbincangan integriti,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan beberapa mufti menyokong isu rasuah ditekankan dalam khubat Jumaaat dan ceramah agama bagi memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya umat Islam

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, pendekatan itu boleh membantu memerangi rasuah supaya gejala itu dapat dibendung secara holistik.

Katanya, platform khutbah Jumaat boleh digunakan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam tentang masalah sosial itu yang semakin membarah.

“Paling penting semua pihak perlu bekerjasama untuk sama-sama mainkan peranan bagi membendung gejala rasuah di negara ini.

“Penceramah agama juga ada peranannya begitu juga dengan pihak lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!