Abdul Bari diberi penghormatan terakhir
KUALA TERENGGANU - Abdul Bari Asyraf Mohd diberi penghormatan atas pengorbanan yang dilakukan bagi menyelamatkan individu lain hingga mengorbankan nyawanya sendiri.
Hari ini, seramai lebih 500 menghadiri majlis pengebumian hero penyelamat itu selain keluarga terdekat dan penduduk kampung.
Jenazah Abdul Bari yang lemas ketika menyelamatkan lima sekeluarga di Sungai Terengganu kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid kampung itu selepas solat Zohor dan diimamkan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mayat Abdul Bari Asyraf ditemukan jam 7.24 pagi ini dalam keadaan terapung kira-kira 2.5 kilometer daripada tempat dia dilaporkan lemas.
Terdahulu, Abdul Bari Asyraf menjadi individu pertama terjun ke sungai bagi menyelamatkan sekeluarga di dalam kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dasar sungai.
Selain beliau, lima lagi orang awam turut terjun menyelamatkan lima sekeluarga itu.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf gagal naik ke darat sebelum tenggelam dari permukaan sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!