'Syukur, 490 penduduk Bajau Laut peluk Islam'
SEMPORNA - Pendakwah terkenal, Ebit Lew mendedahkan seramai 490 orang Bajau Laut memeluk Islam selama dua hari beliau berada di Semporna, Sabah dalam misi bantuan Covid-19 di empat buah kampung di sini.
Beliau berkongsi perkara itu di akaun Facebook miliknya pada Selasa sambil melahirkan rasa syukur kerana dapat membimbing mereka mengucap dua kalimah syahadah.
"Menangis bahagia sangat di Semporna dua hari di sini, 490 orang masuk Islam mengucap syahadah dari empat buah kampung. Syukur dapat bimbing mereka syahadah.
"Niat kerana dengar orang memerlukan bekalan makanan terus ke kawasan Bajau Laut yang tiada negara," katanya.
Menurutnya, dia turut tersentuh apabila melihat kehidupan penduduk yang sepanjang hayat mereka tinggal di lautan dengan membina perahu yang turut digunakan sebagai tempat ‘penginapan’.
"Melihat mereka hidup atas air, ada di atas bot. Hidup atas air sepenuhnya dan sekali-sekala ke darat. Mereka tiada agama. Sampai mereka bertanya tentang tuhan.
"Mereka tidak tahu tentang tuhan dan dengan rela hati ingin memeluk Islam. Sayu dengar mereka mengucap syahadah," tulisnya yang menarik perhatian warga maya.
Jelasnya, misi bantuan Covid-19 itu juga memperuntukkan bantuan pembinaan tiga buah sekolah untuk anak-anak Bajau Laut.
"Kami cadang bina tiga sekolah. Tadi dah dapat enam guru untuk mengajar kemahiran asas 3M (menulis, membaca, mengira) dan Asas Islam. Akhlak dan kasih sayang.
"Tadi dah letak kayu. Sebulan akan siap semuanya. Saya akan bayar gaji guru dan akan cuba bantu mereka secara berterusan. Cikgu akan tinggal di sana," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas bantuan dihulurkan sepanjang misi bantuan itu berlangsung.
"Terima kasih pengurusan taman-taman Sabah yang memudahkan kami bina sekolah. Terima kasih badan bukan berkanun yang terlalu banyak membantu mereka.
"Ini sedikit usaha kecil kami. Semoga menjadi asbab kebaikan," katanya.
Pada Isnin, seramai 157 penduduk di Pulau Tatagan, Semporna, Sabah mengucap dua kalimah syahadah sekali gus menyaksikan satu kampung berkenaan memeluk Islam pada petang Ahad.
Ebit yang juga seorang mualaf memberitahu, kesemua penduduk daripada suku Bajau Laut itu memeluk Islam dengan kerelaan tanpa paksaan.
Berdasarkan sejarah, mereka merupakan sebuah kumpulan etnik Sabah yang berasal dari Filipina dan Indonesia di mana sepanjang hayat mereka tinggal di lautan.
Asal-usul mereka tidak jelas bagi kebanyakan sejarah memandangkan kehidupan mereka yang nomad, hidup di laut serta terasing dari komuniti lain manakala kehidupan seharian pula bergantung kepada hasil memancing dan berdagang.
ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew sebak satu kampung jadi saudara baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!