Biden ancam sekatan ke atas Myanmar

JOE BIDEN - Foto AFP
JOE BIDEN - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Isnin mendesak tentera Myanmar untuk menyerahkan kuasa dengan segera selepas melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan yang dipilih oleh rakyat di negara berkenaan.

"Komuniti masyarakat antarabangsa sepatutnya bersatu dengan satu suara untuk menekan tentera Burma (nama lama bagi Myanmar) untuk melepaskan kuasa yang telah mereka rampas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengarahkan satu kajian semula dilakukan bagi mengenakan sekatan ke atas Myanmar yang sebelum ini dilaksanakan ketika negara berkenaan diperintah oleh junta tentera tetapi ditarik balik semasa ia beralih kepada sistem demokrasi.

"AS menarik balik sekatan ke atas Burma pada dekad lalu berdasarkan kepada perkembangan (di negara itu) ke arah demokrasi.

"Proses itu (ke aras demokrasi) yang sudah bertukar (akibat rampasan kuasa) akan memerlukan satu kajian segera dilakukan ke atas undang-undang sekatan kita dan pihak berkuasa (dan) diikuti dengan tindakan yang bersesuaian.

"AS akan berdiri teguh untuk demokrasi walaupun ia (sistem demokrasi) sedang diserang," katanya dalam satu kenyataan.

Peralihan kepada sistem demokrasi itu daripada pemerintahan junta tentera merupakan satu kisah kejayaan pentadbiran Presiden AS ke-44, Barack Obama yang mana Biden ketika itu menjadi Naib Presiden.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, pihak tentera menangkap pemimpin 'de facto' yang juga Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dan beberapa orang ahli politik selepas parti pimpinannya memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara tersebut pada lewat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Suu Kyi juga sebelum ini mendapat kencaman antarabangsa berhubung kejadian pembunuhan etnik Muslim Rohingya di negara tersebut.

Biden juga berkata: "AS mengambil maklum tentang pihak yang berdiri bersama penduduk Burma ketika waktu-waktu sukar ini." - Foto AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!