Pemandu lori dicekup bersama 1,080 botol ubat batuk
PASIR MAS - Seorang pemandu lori dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu bersama 1,080 botol ubat batuk dalam serbuan di hadapan sebuah premis di Kampung Tal Tujoh di sini pada Isnin.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, lelaki berusia 48 tahun itu dicekup selepas pasukan tersebut berjaya menahan lori yang dipandu suspek pada jam 4 petang.
"Sejurus berjaya menahan lori terbabit, sepasukan anggota PGA telah melakukan pemeriksaan ke atas lori itu sambil disaksikan oleh suspek.
"Hasilnya, kita telah temui kotak-kotak yang mengandungi cecair hitam dipercayai ubat batuk," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM66,200 dan kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nor Azizan berkata, kejayaan rampasan itu hasil maklumat awam berkait aktiviti pengedaran ubat batuk di kawasan berkenaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ubat-ubat batuk itu untuk dijual kepada penagih di sekitar Pasir Mas.
"Kesemua barangan rampasan termasuk suspek dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
"PGA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!