Mayat wanita separuh bogel ditemui terdampar di pantai
BACHOK - [DIKEMASKINI] Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemui terdampar di Pantai Melawi di Kampung Aur Kecil di sini pada Selasa.
Mangsa dianggarkan berusia 30-an itu ditemui oleh penduduk yang kebetulan sedang mencari kulit sotong pada jam 8 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung perkara itu daripada penduduk.
“Sebaik sampai, didapati satu mayat terdampar di pesisir pantai dalam keadaan separuh bogel. Berdasarkan pakaian serta fizikal tubuh badannya, mangsa adalah seorang wanita berusia lingkungan 30-an.
“Bahagian bawah badan tidak berpakaian dipercayai sudah tertanggal manakala bahagian atas badan masih berbaju serta berjaket,” katanya kepada pemberita di lokasi di Pantai Melawi Bachok di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata, pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai sudah seminggu berada di lokasi itu berdasarkan keadaan reput serta kepala yang tinggal tengkorak.
“Mayat ini berkemungkinan dihempas ombak sehingga ke pesisiran pantai ini.
“Pemeriksaan awal pada badannya tiada menemui unsur jenayah namun siasatan masih diteruskan termasuk mengenalpasti identitinya,” katanya.
Mohd Yusrizal berkata, pihaknya turut melakukan semakan orang hilang selain meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk berhubung di balai-balai berdekatan bagi proses pengecaman.
“Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut yang diteruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!