Perlembagaan parti Pejuang, Muda tidak teratur: Hamzah

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) yang sebelum ini menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan parti berkenaan.

Katanya, permohonan yang dikemukakan oleh Muda Malaysia tidak selari mengikut peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan pengasas Muda dan menubuhkan parti itu pada tahun 2012.

"Kalau kau (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dah pandai sangat, nak daftar (parti) kau bacalah dulu sama ada ia betul atau tidak segi editorialnya," katanya pada sidang media di kementeriannya pada Selasa.

Menurutnya, kesalahan editorial pada perlembagaan parti boleh menyebabkan ia disalahgunakan.

Beliau berkata, Perlembagaan Muda Malaysia juga tidak teratur dan tidak spesifik dengan jelas.

"Siapa orang muda? Kamu perlu tanya diri sendiri dan apakah had umur (ahli parti)?" soalnya.

Hamzah berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan usia mengundi seawal 18 tahun tetapi Muda Malaysia menetapkan keahlian minimum 16 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tiada had usia maksimum ditetapkan, jadi kalau berusia 41 tahun adakah masih menjadi ahli," katanya.

Menurutnya, situasi sama turut berlaku pada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"Permohonan kedua-dua parti ini dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima rayuan daripada Pejuang pada 8 Januari lalu dan mengadakan perbincangan bersama pihak RoS bagi mendapatkan pandangan.

"Bagaimanapun sehingga hari ini Jawatankuasa Penaja Muda Malaysia tidak berjumpa dengan pihak JPPM bagi tujuan konsultansi dan masih belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada Menteri Dalam Negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui Syed Saddiq ada bertemu dengannya untuk memintanya untuk meluluskan parti.

"Tapi saya kata "no". Saya tak masuk campur, memang serah bulat-bulat kepada RoS. Tiada kena mengena isu sokong ke tidak sokong," katanya.

Tambahnya, sesuatu pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335 menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta yang sama.

"Sekiranya ada pihak yang menjalankan aktiviti pertubuhan maka tindakan pendakwaan boleh dikenakan di bawah akta sama," katanya.

Pendaftaran Pejuang sebagai parti dikemukakan pada 19 Ogos tahun lalu manakala Muda Malaysia mendaftar pada 17 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!