Polis buka kertas siasatan terhadap Ibu Yati
PUTRAJAYA- Polis membuka kertas siasatan terhadap pengguna akaun Facebook, Ibu Yati yang dikaitkan dengan fahaman Islam Melayu.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada pemberita pada sidang akhbar di kementeriannya pada Selasa.
"Saya baru saja berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed berkenaan hal ini dan kita akan buat siasatan lanjut," katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan polis terhadap Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias yang dikaitkan dengan isu fahaman Islam Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN JAIS siasat ajaran Islam Melayu: Zulkifli
Ia menjadi perbualan warga maya baru-baru selepas tersebar rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.
Ia didakwa ajaran sesat terbaharu di negara ini.
Wan Noor Hayati bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkan ia tuduhan jahat dan membuat laporan polis.
Setakat ini, lebih 10 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap wanita itu.
Sementara itu, mengulas mengenai 13 laporan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hamzah berkata, tindakan diambil dan kertas siasatan juga telah dibuka.
Anwar dilapor mencadangkan semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!