Bicara Bung, Zizie ditangguh kerana saksi tidak sihat
KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah RM2.8 juta melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abd Samad yang sepatutnya berlangsung pada Selasa ditangguhkan, selepas saksi perbicaraan dilaporkan tidak sihat.
Perkara itu dimaklumkan peguam Ridha Abdah Subri di luar mahkamah, selepas prosiding di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Beliau berkata, saksi ke-11 pendakwaan sepatutnya hadir untuk memberi keterangan pada Selasa tetapi terpaksa ditangguh kerana tidak sihat.
"Perbicaraan akan bersambung semula esok sehingga Jumaat ini," katanya.
Saksi ke-11 itu merupakan Pengurus Kanan Pentadbiran dan Kewangan di Yayasan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Azriman Ridouan.
Pada 3 Mei tahun lalu, Bung Moktar, 61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengahari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di lokasi, tarikh dan masa sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!