16,800 kg lemak susu dirampas

80 tong mengandungi lemak susu dirampas Maqis Pulau Pinang pada petang Isnin.
80 tong mengandungi lemak susu dirampas Maqis Pulau Pinang pada petang Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah kontena membawa 80 tong lemak susu (Anhydrous Milkfat Premium) ditahan sepasukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada jam 5.32 petang Isnin.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, kesemua tong tersebut mengandungi 16,800 kilogram (kg) lemak susu yang dianggarkan bernilai RM300,109.96.

Menurutnya, pengeksport lemak susu dari New Zealand itu didapati telah mengisytiharkan dokumen yang tidak tepat seperti yang dinyatakan pada syarat dokumen permit import Maqis yang sah.

"Kita menahan kontena tersebut pada petang Isnin dan mendapati, terdapat 80 tong mengandungi lemak susu yang mana, dokumennya diisytiharkan tidak tepat iaitu mengemukakan sijil kesihatan yang berbeza dari negara pengimport.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

Zarina berkata, lemak susu tersebut diimport untuk diproses menjadi makanan dan minuman bagi kegunaan pasaran di Malaysia dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!