Khaled gesa kerajaan lantik jeneral baharu perangi Covid-19
SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan melantik seorang 'Czar' atau jeneral baharu untuk mengetuai dan merangka pendekatan baharu memerangi wabak Covid-19.
Beliau berkata, sudah tiba waktunya kerajaan tidak hanya menganggap apa yang sedang belaku kini sebagai krisis kesihatan, sebaliknya sebagai masalah nasional.
Berikutan itu, katanya, setiap kementerian tidak boleh lagi bekerja secara berasingan.
"Apa yang kita perlukan adalah jeneral baharu, bukan untuk menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) tetapi yang akan mengambil alih tugas untuk memimpin usaha kolektif merentas kementerian.
"Jeneral baharu ini mesti dapat memberikan tumpuan khusus kepada usaha memerangi Covid-19 dan menyelaraskan tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor menegaskan, pada Mac depan, genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan untuk mengekang Covid-19, namun keadaan bukan sahaja tidak banyak berubah, bahkan semakin meruncing.
Jelas beliau, ratusan ribu rakyat Malaysia terpaksa bekerja sambilan untuk mengimbangi impak pemotongan gaji.
"Lebih banyak yang terpaksa memerah keringat dan membanting tulang untuk menampung kos kehidupan sekeluarga disebabkan lanjutan penutupan ekonomi yang lebih lama daripada yang dijangkakan untuk kerajaan membendung pandemik tersebut.
"Walaupun Tan Sri Dr Noor Hisham telah melaksanakan tugas dengan luar biasa dan harus dipuji, beliau tidak harus terikat dengan isu pandemik Covid-19 sahaja. Institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada wabak ini. Masalah kesihatan lain juga memerlukan perhatian yang setimpal," katanya.
Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan pandemik berkenaan telah melampaui batas krisis kesihatan dan telah menjadi krisis nasional berskala penuh.
"Jeneral baharu dengan idea dan strategi baharu amat diperlukan untuk memimpin pasukan merentas kementerian, pelbagai jabatan dan pelbagai agensi untuk segera bertindak balas terhadap sifat pandemik yang cepat berubah.
"Institut kesihatan dan perubatan kita nyaris kehilangan kapasiti mengatasi pandemik ini. Pelbagai hospital telah dikhaskan untuk menempatkan pesakit Covid-19 dan keupayaan negara hampir mencecah hadnya.
"Barisan hadapan kita penat dan letih akibat bekerja terlalu lama ‘overworked’ sekali pun tidak mendapat imbuhan setimpal ‘undercompensated’," katanya.
Mohamed Khaled juga berkata, institusi perubatan negara boleh berdepan risiko untuk runtuh sekiranya kerajaan meneruskan perjuangan tanpa pelan yang lebih berkesan.
Beliau berkata, ketahanan negara ketika ini sedang diuji apabila pemulihan ekonomi terencat, sistem pendidikan gagal dan institusi kebajikan tidak dapat melindungi semua rakyat yang terdedah.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan reformasi institusi dan struktur yang drastik.
"Sememangnya kerajaan cuba melakukan yang terbaik tetapi tanpa ‘chief in command’ yang berkelayakan untuk menyatu dan menyelaraskan usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan yang berimpak besar dan lestari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!